Ketegangan Tak Jejas Kehidupan Di Sempadan Korea

PULAU GYODONG, 27 Okt – Berbekalkan senjata, tentera Korea Selatan dilihat memeriksa dan meneliti dokumen pengenalan orang ramai yang melalui pusat pemeriksaan tentera untuk ke Pulau Gyodong.
Pulau itu hanya kira-kira dua kilometer dari Korea Utara, yang dipisahkan oleh laut.
Keselamatan ketat dilaksana di sekitar pulau kecil itu, yang terletak di wilayah Ganghwa di bandar Incheon, dengan kawat berduri diletakkan di sepanjang pesisir pantai, bertujuan melindungi kemungkinan penyusupan Korea Utara.
Biarpun pelancaran peluru berpandu dilancarkan Korea Utara baru-baru ini, ramai warga Korea Selatan di pulau itu, termasuk mereka yang tinggal berhampiran sempadan, tidak terganggu.
Bahkan ada yang meminta supaya pagar berduri ditanggalkan.
Permintaan itu menyusul ketika ketegangan di semenanjung Korea Selatan berada pada tahap tertinggi sejak 2017, berikutan tembakan peluru berpandu antara Korea Selatan dan Korea Utara baru-baru ini.
Kedua-dua pihak saling bertukar tembakan amaran di luar pantai barat pada Isnin lalu, dengan masing-masing saling menuduh kononnya ia melanggar sempadan maritim mereka.
Tembakan terbaru berlaku di tengah-tengah ketegangan yang terus meningkat, dengan Korea Utara menjalankan ujian senjatanya pada kadar yang tidak pernah berlaku sepanjang tahun ini.

Penganalisis percaya pelancaran satu lagi ujian nuklear boleh meningkatkan keupayaan Pyongyang dalam membangunkan lebih banyak senjata taktikalnya, sekali gus meletakkan keselamatan Korea Selatan pada risiko lebih besar, lapor agensi berita CNA.
Penduduk kampung meminta supaya kawalan ketat dilonggar selain pusat pemeriksaan tentera dipindahkan, kerana ia dilihat menyekat pergerakan dan menghalang perkembangan ekonominya yang disumbang dari pelancongan, menurut ketua kampung Pulau Gyodong, Hwang Kyo-Ik.
“Pelancong dan penduduk yang datang ke pulau itu berasa sangat tidak selesa. Pulau Gyodong berpagar di semua sisi. Ia seperti reban ayam. Kami tidak boleh pergi ke mana-mana berhampiran pantai,” katanya.
Katanya, dawai berduri yang dipasang lebih dilihat sebagai simbolik berbanding mencegah, memandangkan Korea Utara tidak membina struktur sama di kawasan sempadannya.
“Sebelum ini, kami tidak dapat mendengar TV di rumah pun kerana penyiaran propaganda dari Korea Utara.
“Jadi kami sudah biasa dengan semua ini dan penduduk Gyodong kurang responsif apabila membabitkan isu keselamatan. Kami tidak takut apabila Korea Utara menembak peluru berpandunya,” katanya.
– AGENSI
