Kestabilan Politik Wajar Kekal Hingga PRN – KEADILAN Sabah

Pengerusi MPN KEADILAN Sabah Datuk Mustapha Sakmud (tengah) semasa sidang media KEADILAN Sabah di Kota Kinabalu pada Ahad. Foto Facebook PKR Sabah

KOTA KINABALU, 12 Jan – Kestabilan politik Sabah wajar dikekalkan memandangkan negeri ini bakal berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan bila-bila masa pada tahun ini, kata Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah pada Ahad.

Malah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Datuk Mustapha Sakmud, enggan melayan sebarang spekulasi yang membawa gangguan kepada kestabilan politik termasuk melibatkan kedudukan parti dalam kerajaan.

“Kita memikirkan kestabilan dan kebajikan rakyat di negeri ini, jadi banyak spekulasi yang telah ditimbulkan pelbagai pihak.

“Cuma bagi kami, kami tidak mahu tergesa-gesa untuk membalas dengan cadangan atau spekulasi tersebut sebab kita kena praktikal.

Pengerusi MPN KEADILAN Sabah Datuk Mustapha Sakmud (tengah) semasa sidang media KEADILAN Sabah di Kota Kinabalu pada Ahad. Foto Sinar Harian

“Tahun ini adalah tahun PRN, jadi kestabilan politik itu penting, kita tidak mahu lagi berlaku seperti sebelum ini, setiap dua tahun kita ada PRN,” katanya dalam sidang akhbar KEADILAN Sabah, di sini pada Ahad.

Menurutnya, kestabilan itu penting supaya rakyat boleh memilih kepimpinan baharu secara rasional pada PRN nanti.

“Jadi kita kena betul-betul stabilkan supaya rakyat boleh secara rasional memilih kepimpinan baharu, kepimpinan negeri dan kerajaan yang baru selepas ini.

“Inilah musimnya (PRN), gunalah kuasa anda sebagai pengundi untuk menentukan masa depan kepimpinan negeri. Jadi bagi kita, kita kena betul-betul rasional dalam menangani isu ini dan kita tidak mahu terburu-buru atau tergesa-gesa,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai isu pemilihan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, beliau kekal dengan kenyataan sebelum ini bahawa pemilihan itu sendiri perlu dibawa ke Majlis Presiden untuk menentukan keputusannya.

“Apabila berlaku perbezaan pendapat, maknanya perkara ini perlu dibawa ke Majlis Presiden. Tapi selagi tidak disahkan, maknanya mesyuarat (PH Sabah) itu hanya sekadar mesyuarat,” katanya.

Sebelum ini, timbul isu bahawa pemilihan Presiden Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi PH Sabah mengundang pertikaian daripada kepimpinan dalam MPN Sabah.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *