220 Warga Filipina Diampun Presiden Mohamed Sempena Hari Kebangsaan UAE

President UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan menerima kunjungan Presiden Filipina Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr. di Abu Dhabi pada 26 November 2024 yang membuka jalan kepada pengampunan 220 warga negara itu. Foto WAM
MANILA, 12 Jan – Seramai 220 warga Filipina yang ditahan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendapat pengampunan sempena Hari Kebangsaan ke-53 negara Teluk itu, lapor Agensi Berita Filipina yang memetik kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) pada Isnin lalu.
Menurut DFA, kepimpinan UAE secara tradisinya memberikan pengampunan untuk meraikan hari kebangsaannya pada 2 Disember.
Pengampunan untuk warga Filipina yang diumumkan pada 26 Dis 2024 diberikan atas dasar hubungan persahabatan yang erat antara kedua-dua negara, kata agensi itu.
“Ia adalah hasil langsung daripada pertemuan Presiden Marcos dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan pada 26 November lepas,” kata DFA dalam satu kenyataan.
DFA dan Kedutaan Filipina di Abu Dhabi kini sedang memproses keperluan dokumentari dan pentadbiran untuk memastikan kepulangan segera warga Filipina yang mendapat pengampunan ke negara itu.
Individu yang mendapat pengampunan itu ditahan di UAE atas pelbagai kesalahan.
Pada Jun 2024, seramai 143 warga Filipina yang ditahan di UAE juga mendapat pengampunan sempena Aidiladha.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

