Kes Zara: Tiada Kesan Lebam, Tanda Penderaan Ketika Tiba di Hospital

Keadaan di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu yang menjadi lokasi Mahkamah Koroner melaksanakan proses inkues kes kematian Zara Qairina pada 9 September 2025. Foto Modh Adam Arinin
KOTA KINABALU, 9 Sep – Saksi ketiga prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir, Dr Janefer Voo, 32 yang juga pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (HQE) memberitahu tiada kesan lebam atau tanda penderaan dikesan pada tubuh allahyarham ketika dibawa ke HQE pada 16 Julai lalu.
Dr Voo memberitahu, beliau menerima pesakit kira-kira jam 4.38 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan serius antaranya bengkak dan pendarahan di bahagian belakang kepala, patah tertutup pada pergelangan tangan kiri, patah terbuka pada pergelangan kaki kiri serta patah tertutup pada pergelangan kaki kanan.

“Selepas pemeriksaan, saya mengaktifkan prosedur ‘Trauma Alert’ pada jam 4.42 pagi bagi rujukan segera kepada pasukan pakar Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi.
“Hasil penilaian menunjukkan pesakit disyaki mengalami kecederaan otak trauma yang serius, kecederaan di bahagian belakang kepala, patah pada kedua-dua pergelangan kaki, patah pergelangan tangan kiri serta kemungkinan pendarahan dalaman,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Mahkamah Koroner di sini.
Dr Voo berkata, tekanan darah pesakit yang terlalu rendah menimbulkan syak bahawa mangsa mengalami kecederaan dalaman akibat trauma impak tinggi sehingga menyebabkan pendarahan dalaman.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada sebarang tanda lebam atau kesan penderaan ditemui pada tubuh pesakit.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
