Kerana Hamzah, Sidang Dewan Rakyat Ditangguh Lima Minit

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin berterusan tidak mengendahkan keputusan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor yang tidak membenarkannya bertanyakan soalan tambahan pada 3 Mac 2026.

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Persidangan Dewan Rakyat sesi pagi ini ditangguh lima minit susulan tindakan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin berterusan tidak mengendahkan keputusan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor yang tidak membenarkannya bertanyakan soalan tambahan.

Hamzah sebelum itu dilihat bangun untuk bertanyakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan, ancamannya terhadap demokrasi berparlimen serta sama ada siasatan membabitkan unsur penyelewengan atau penyalahgunaan wang negara.

Bagaimanapun, ia tidak dibenarkan oleh Ramli yang kemudiannya menyebabkan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempertikai tindakannya.

Sidang Dewan Rakyat ditangguh lima minit kerana keengganan Hamzah mematuhi arahan Speaker yang tidak membenarkan soalan tambahan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“(Timbalan) Speaker boleh guna budi bicara bawah 43 (aturan dewan) untuk membenarkan (soalan dikemukakan) atau tidak. Ini Ketua Pembangkang,” katanya.

Ramli kemudian secara sinis menyatakan sekiranya Takiyuddin menjadi Speaker Dewan Rakyat, boleh membenarkan soalan tambahan dikemukakan oleh Hamzah.

Beliau juga tetap tidak membenarkan Hamzah bertanyakan soalan tambahan sambil Anwar dan ahli parlimen kerajaan menyaksikan ‘drama’ ahli parlimen pembangkang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 3 Mac 2026.

“Saya tidak benarkan. Saya faham YB (Hamzah) adalah Ketua Pembangkang. Saya rasa saya sudah buat keputusan dan YB sila duduk,” katanya.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berterusan bertanyakan soalan sehingga menyebabkan Ramli mengambil keputusan untuk menangguhkan persidangan selama lima minit.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *