Kerajaan Tubuh Wakaf MARA MADANI RM1 Bilion Dinaungi Agong – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
PUTRAJAYA, 2 Mac – Kerajaan mengumumkan penubuhan Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) MADANI dalam usaha memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan dan keusahawanan bagi golongan Bumiputera, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memberi perkenan untuk menjadi penaung kepada tabung wakaf tersebut.
Bagi penubuhan itu, Anwar berkata, kerajaan menyediakan geran peluncuran sebanyak RM100 juta dengan sasaran dana terkumpul minimum RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.
“Soal wakaf banyak disentuh dan disinggung oleh banyak kumpulan. Sukacita saya memaklumkan bahawa anak-anak kita dari Persatuan Alumni MARA dan pimpinan MARA sendiri menggesa supaya ada rencana wakaf.

“Maka dengan ini, saya mengumumkan penubuhan Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran RM100 juta dan dengan maksud dalam tempoh dua tahun terkumpul minimum RM1 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Sementara itu Anwar turut mengumumkan Skim Perumahan MADANI di tanah rizab Melayu di kawasan bandar dengan sasaran membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik dalam kadar segera.
Ia bagi menjamin kesejahteraan Melayu di bandar dengan memanfaatkan tanah rizab Melayu terbiar.
Serentak itu kerajaan akan memastikan pemilikan sejumlah 200 ekar tanah termasuk 50 ekar tanah di Bandar Malaysia kekal dimiliki orang Melayu bagi menjamin ketersediaan perumahan mampu milik untuk Melayu supaya kekal di kawasan pusat bandar.
Anwar berkata, Pelaburan Hartanah Berhad dan Permodalan Nasional Berhad telah diamanahkan untuk menerajui dan memacu pembangunan komersial di tanah-tanah rizab Melayu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
