Kerajaan Sarawak Hoskan Jamuan Negeri Buat PM Anwar Sempena Lawatan Kerja Dua Hari

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Abang Johari ketika menghadiri Jamuan Negeri pada Sabtu sempena lawatan Perdana Menteri ke Sarawak. Foto Bernama
MIRI, 28 Sep – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Jamuan Negeri di sebuah hotel terkemuka di sini sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Sarawak yang bermula pada Sabtu.
Mengiringi beliau Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar serta beberapa menteri Persekutuan dan Negeri.
Yang turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Pada majlis itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan meluluskan projek pembesaran Lapangan Terbang Miri bagi menampung peningkatan kemasukan pelancong di wilayah utara Sarawak yang bersempadan dengan Brunei dan Indonesia.
Perdana Menteri memberi jaminan untuk menyegerakan pelaksanaan projek tersebut dan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook serta Kementerian Kewangan (MOF) berhubung perkara itu termasuk kos, pemanjangan landasan dan reka bentuk.
Menurut beliau, kadar pertumbuhan pelancongan untuk tahun ini meningkat hampir 90 peratus berbanding tahun lepas.
Terdahulu pada petang Sabtu, Perdana Menteri merasmikan Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang di pekarangan sebuah pusat membeli-belah terkemuka di sini.
Program itu dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri menerusi kerjasama strategik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) selaku kementerian peneraju serta Kerajaan Negeri Sarawak selaku tuan rumah.
Esok, Anwar dijadualkan ke Kapit di mana beliau akan meninjau beberapa projek infrastruktur Persekutuan dan menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk di bandar Kapit serta sebuah rumah panjang berdekatan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
