Kerajaan Perlu Terus Terang, Telus Sampaikan Realiti Ekonomi – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada sesi Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 9, 'Memacu Ekonomi Malaysia: Peranan Sektor Kewangan dan Reformasi Struktur Dalam Mendepani Ketidaktentuan Geopolitik Global' di Sasana Kijang, Kuala Lumpur pada 31 Mac 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 31 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan kerajaan untuk berterus terang dan telus dalam menyampaikan realiti ekonomi semasa kepada rakyat, susulan tekanan kos global yang kian meningkat termasuk kebergantungan tinggi negara terhadap import gas dan baja.
Perdana Menteri berkata, situasi semasa wajar dilihat sebagai satu bentuk ‘gangguan kreatif’ yang bukan sahaja membawa cabaran, malah membuka ruang kepada pembaharuan dan peluang baharu.

“Ini adalah masa untuk kita melihat isu ini sebagai ‘gangguan kreatif”. Kita berdepan krisis, namun dalam masa sama terdapat peluang yang boleh dimanfaatkan,” katanya pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 9 bertajuk Memacu Ekonomi Malaysia: Peranan Sektor Kewangan dan Reformasi Struktur Dalam Mendepani Ketidaktentuan Geopolitik Global di sini, malam ini.
Turut menjadi panel ialah Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan; Gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Rasheed Ghaffour serta Ketua Ekonomi Bank Dunia Malaysia, Apurva Sanghi.

Anwar bagaimanapun mengingatkan bahawa penekanan berlebihan terhadap aspek peluang boleh mengaburkan pemahaman rakyat mengenai realiti sebenar yang sedang dihadapi negara ketika ini.
“Kita tidak boleh terlalu menumpukan kepada peluang sehingga rakyat tidak memahami bahawa kita sebenarnya berdepan masalah yang serius. Walaupun Malaysia lebih bernasib baik berbanding beberapa negara jiran, tekanan itu tetap wujud,” katanya.

Anwar berkata, laporan semasa menunjukkan negara masih mengimport dalam jumlah besar bahan asas seperti gas dan baja bagi memenuhi keperluan sektor pertanian, sekali gus mendedahkan ekonomi kepada risiko luaran.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu memastikan maklumat disampaikan secara telus dan berfakta agar rakyat dapat memahami keadaan sebenar, meskipun berdepan kritikan daripada segelintir pihak.

“Ada yang akan faham, ada juga yang kekal skeptikal dan menentang dasar. Namun, kita mesti telus dalam penyampaian maklumat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan pendedahan terhadap realiti makroekonomi dalam kalangan rakyat dan penjawat awam bagi mengelakkan salah faham terhadap dasar yang dilaksanakan.

Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap pendekatan segelintir kementerian yang masih bergerak secara terpisah, sedangkan keadaan semasa memerlukan penyelarasan lebih menyeluruh, khususnya ketika kerajaan menanggung beban subsidi petroleum yang mencecah lebih RM4 bilion sebulan.
Mengulas perkembangan global, beliau berharap konflik di Timur Tengah tidak berlarutan kerana ia memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan serta harga komoditi dunia.
“Perkara itu di luar kawalan kita, namun kita mesti bersedia dengan daya tahan ekonomi yang kukuh,” katanya.
Anwar menegaskan semangat perpaduan dan tujuan nasional perlu diperkukuh bagi memastikan negara mampu mengharungi cabaran ini secara bersama.
“Kita perlu menghadapi situasi ini dengan semangat kebersamaan. Ini adalah tanggungjawab bersama, dan semua pihak termasuk kepimpinan ekonomi perlu turun padang bagi menjelaskan isu ini dalam bahasa yang mudah difahami rakyat,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


