Kerajaan Perkukuh Sektor Tenaga Mampan, Sokong Ekonomi Rendah Karbon – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 2 Tahun 2025 di Putrajaya pada 12 November 2025. Foto PMO

PUTRAJAYA, 12 Nov – Kerajaan MADANI komited memperkukuh sektor tenaga negara menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) yang digariskan di bawah strategi mampan bagi menjamin keterjaminan tenaga serta menyokong pertumbuhan sosioekonomi negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, fokus utama adalah meningkatkan perkongsian tenaga boleh baharu kepada 35 peratus menjelang tahun 2030, memperluas akses grid terbuka, serta mempergiat pelaburan dalam teknologi hijau dan tenaga baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 2 Tahun 2025 di Putrajaya pada 12 November 2025. Foto PMO

“Langkah ini sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi memperkukuh sistem tenaga negara yang lebih inovatif, berdaya saing dan inklusif demi menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian masa depan Malaysia,” katanya.

Anwar yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 2 Tahun 2025 hari ini berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan unjuran permintaan dan pembekalan elektrik bagi pusat data (data centre) berdasarkan penilaian terkini oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 2 Tahun 2025 di Putrajaya pada 12 November 2025. Foto PMO

Selain itu, katanya, mesyuarat juga meluluskan pembangunan Platform Perkhidmatan e-Mobiliti (e-Mobility Service Platform) bagi menyepadukan dan menyelaras operasi stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara.

Ia akan diselaraskan dengan kerjasama rentas kementerian bagi memenuhi permintaan EV yang dijangka meningkat menjelang 2030.

“Kerajaan MADANI kekal fokus dalam menterjemah aspirasi peralihan tenaga negara bagi menjadikan Malaysia peneraju ekonomi rendah karbon yang mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *