Kerajaan MADANI Komited, Buka Ruang Perbincangan Dengan Sabah, Sarawak – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kuching pada 12 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 12 Sep – Kerajaan MADANI akan terus menyatakan komitmen serta membuka ruang perbincangan secara harmoni, tertib dan penuh saling hormat bersama Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut hantaran di pelantar media sosial hari ini, Perdana Menteri berkata, dalam semangat MADANI, Kerajaan Persekutuan bukan sahaja bertekad menyelesaikan isu-isu berbangkit, malah merealisasikan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak yang telah lama menanti.

“Kerajaan MADANI hari ini adalah kerajaan yang paling giat dan paling banyak menyelesaikan perkara-perkara berhubung MA63, hasil kesungguhan, muafakat dan komitmen bersama semua pihak,” katanya.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2025 di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching.

Mesyuarat yang dipengerusikan Anwar turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan pimpinan Persekutuan dan negeri termasuk beberapa menteri kabinet bagi memperhalusi kemajuan perancangan dan pelaksanaan yang telah dicapai setakat ini.
Anwar berkata mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada pelaporan status kemajuan terkini berhubung pelaksanaan persetujuan di bawah MA63.

“Antara perkara yang dibentangkan dan dibincangkan ialah cadangan pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak, hal ehwal pelancongan, kuasa dalam pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman, serta pemberian kuasa berhubung pengurusan alam sekitar,” katanya.
Anwar mengakhiri lawatan kerja dua hari ke Sarawak yang bermula semalam di Limbang dan bersambung di Kuching hingga berlepas pulang ke ibu negara petang tadi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
