Kerajaan MADANI Komited Bangunkan Sabah, Peruntuk RM17.5 Bilion – MOF

Kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap meneruskan komitmen terhadap usaha memastikan kemajuan di Sabah terus diperkukuh dengan menyediakan peruntukan RM17.5 bilion bagi 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Meskipun telah bersetuju untuk memuktamadkan terma tuntutan 40 peratus hasil menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Kerajaan MADANI tetap meneruskan komitmen terhadap usaha memastikan kemajuan di Sabah terus diperkukuh dengan menyediakan peruntukan RM17.5 bilion bagi 2026 demi kesejahteraan rakyat di negeri itu.

Menerusi hantaran di media sosial, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan projek prasarana utama seperti Pan Borneo Sabah bernilai RM13.9 bilion disambung semula di samping peningkatan kemudahan asas termasuk Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).

“Selain itu, Kerajaan MADANI memperkukuh bekalan asas dengan peruntukan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan elektrik dan RM765 juta untuk Projek Talian Penghantaran Southern Link,” menurut kementerian itu.

MOF memaklumkan perbelanjaan itu meliputi pemberian negeri, perbelanjaan mengurus agensi Persekutuan, subsidi bahan api dan perbelanjaan pembangunan yang menyaksikan peningkatan ketara dari 2022 hingga tahun depan.

Selain itu, peruntukan tahun hadapan meliputi Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI sepanjang 3,190 kilometer menelan kos RM2 bilion melibatkan laluan ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau.

Menyentuh MA63 pula, MOF memaklumkan sembilan daripada 13 tuntutan di bawah MA63 diselesaikan semasa pentadbiran Kerajaan MADANI.

Antaranya mengiktiraf Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 selain turut menyerahkan kuasa melulus bagi perolehan projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik Sabah sehingga RM50 juta.

Kerajaan MADANI juga telah meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (1995) bagi melantik wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *