Kerajaan MADANI Hargai Peranan Pekerja Bangunkan Ekonomi Negara – PM Anwar

Hari Pekerja bukan agenda pesta tahunan, tetapi untuk iktiraf peranan pekerja bermula peringkat rendah hingga pengurusan. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI akan terus menghargai serta mengiktiraf setiap peranan dimainkan pekerja dalam menjadi penggerak utama kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan negara.
Beliau berkata, Malaysia meraikan Hari Pekerja hari ini bukan sebagai agenda pesta tahunan, tetapi untuk mengiktiraf setiap peranan pekerja bermula peringkat rendah hingga pihak pengurusan.
“Saya harap Hari Pekerja pada tahun ini akan memberikan rangsangan supaya pengiktirafan itu, dari segi ganjaran, rasa hormat dan rasa ihsan kepada pekerja, dapat kita tingkatkan,” katanya menerusi video yang dimuat naik dalam Facebook beliau, hari ini.
Mewakili Kerajaan MADANI, Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih atas usaha dan kerja kuat yang ditunjukkan pekerja selama ini.
Sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan dengan tema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. – BERNAMA
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
