Kerajaan MADANI Beri Jaminan Persiapan Sukan SEA Menyeluruh, Terancang Dan Berwibawa – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada kontinjen Malaysia di Sukan SEA 2025 Thailand yang berakhir pada 20 Disember 2025. Foto Instagram Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan melakukan persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 akan dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan berwibawa.

Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, persiapan tersebut bukan sekadar dari sudut prasarana dan penganjuran, tetapi dalam membina ekosistem sukan yang mampan serta melahirkan bakat berkelas dunia.

“Lebih daripada itu, sukan adalah wadah penyatuan rakyat yang menyatukan kita merentas kaum, wilayah dan latar belakang dalam satu semangat kebersamaan serta kebanggaan nasional.

“Inilah kekuatan sebenar Malaysia yang mesti terus dipelihara dan diperkasa,” katanya.

Malaysia dijadual akan menganjurkan Sukan SEA 2027 dari 18 hingga 29 September dengan melibatkan empat negeri iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Sebanyak 38 jenis sukan bakal dipertandingkan dan pemilihan tarikh temasya tersebut adalah dengan mengambil kira musim cuti universiti serta keadaan cuaca.

Terdahulu, Anwar berkata, masih belum terlewat untuk beliau mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada seluruh kontinjen Malaysia atas pencapaian membanggakan di Sukan SEA Thailand baru-baru ini.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil disiplin yang tinggi, pengorbanan yang berterusan serta semangat juang para atlet, jurulatih dan pegawai pasukan yang tidak pernah luntur dalam mengharumkan nama negara di persada serantau.

“Pencapaian ini wajar dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuh persiapan menghadapi temasya sukan utama yang lain, agar Malaysia kekal berdaya saing dan disegani di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *