Ini Sebab Mengapa Najib Kekal Di Penjara Kajang

Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke mendapati, Titah Adendum tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Januari 2024.
KUALA LUMPUR, 22 Dis – Berikut merupakan alasan penghakiman Titah Adendum berhubung keputusan mengekalkan bekas perdana menteri, Najib Razak meneruskan baki hukuman di Penjara Kajang sehingga Ogos 2028.
Menurut Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke mendapati, titah berkenaan tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.
“Untuk ditegaskan sekali lagi, Yang di-Pertuan Agong ialah seorang Raja Berperlembagaan dan menjalankan kuasa serta fungsinya selaras dengan peruntukan Perlembagaan. Pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan tidak terkecuali daripada prinsip ini.

“Ia mesti dilaksanakan dalam rangka perundangan yang menyediakan perlindungan dan had-had sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan. Perintah Adendum tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61.
“Tiada pematuhan terhadap Perkara 42. Oleh itu, perintah tersebut bukan suatu perintah yang sah. Para responden tidak mempunyai kuasa dan tidak mempunyai kewajipan untuk mematuhi atau menguatkuasakannya.
“Sebaliknya, pemohon juga tidak mempunyai hak untuk mendapatkan perintah mandamus. Dalam keadaan ini, permohonan semakan kehakiman dalam itu ditolak,” jelasnya ketika membacakan keputusan itu.

Najib yang kini berusia 72 tahun, disabitkan bersalah kerana menyalahgunakan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan telah menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
13 Ogos lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Malaya ketika itu, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, menolak rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan memerintahkan supaya semakan kehakiman Najib dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh berdasarkan merit kes.
Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa hukuman penjara asal selama 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib telah dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Susulan keputusan itu, Najib dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
