Kerajaan MADANI Beri Jaminan Pastikan Kelantan Dapat Perhatian Sewajarnya – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud di Perdana Putra, Putrajaya pada 12 Februari 2026. Foto PMO
PUTRAJAYA, 13 Feb – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap negeri termasuk Kelantan diberikan perhatian sewajarnya dengan dasar dan tindakan yang berpaksikan kepentingan rakyat serta masa depan yang lebih terjamin untuk semua.
Menerusi hantaran di laman sosial pada Jumaat, Perdana Menteri berkongsi kemaskini mengenai kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Bangunan Perdana Putra di sini, semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam pertemuan itu, perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, khususnya dalam mempergiat ikhtiar membantu rakyat Kelantan.
“Penekanan diberikan kepada peningkatan kesejahteraan hidup, peluasan peluang ekonomi serta pelaksanaan pembangunan yang adil dan seimbang,” katanya.

Turut hadir mengiringi Mohd Nassuruddin pada pertemuan dengan Anwar itu para pegawai kanan kerajaan negeri Kelantan serta pegawai Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Sementara itu, Mohd Nassuruddin menerusi laman sosial Facebook beliau turut berkongsi kunjungan hormat tersebut yang disifatkan beliau medan memperkukuh hubungan kerja antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan atas asas pentadbiran yang matang, berhemah dan berorientasikan solusi.

“Fokus kami jelas dalam semangat federalisme yang sihat, kerjasama ini dizahirkan dengan pendekatan profesional, saling menghormati bidang kuasa dan berkongsi tanggungjawab demi memastikan setiap inisiatif benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya.
Tambah Mohd Nassuruddin, kerajaan yang matang bukan sekadar berbeza pandangan, tetapi tahu mencari titik persamaan demi maslahat bersama.

Ujar beliau, kerajaan negeri dan Persekutuan harus bergerak seiring, bukan untuk siapa yang lebih menonjol, tetapi untuk siapa yang lebih terbela.
“Akhirnya, segala perbincangan ini bermuara kepada satu tekad: memastikan manfaatnya dirasai sepenuhnya oleh rakyat, kerana kesejahteraan mereka adalah ukuran sebenar kejayaan pentadbiran,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
