Kerajaan Komited Pastikan Keselamatan Internet Untuk Semua – Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika menghadiri program Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 8 Februari 2026.
KUALA LUMPUR, 8 Feb – Datuk Fahmi Fadzil memberi jaminan kerajaan terus memberi tumpuan serius terhadap usaha memastikan penggunaan internet yang lebih selamat, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan masyarakat daripada ancaman jenayah secara dalam talian.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, menjelaskan, di sebalik usaha memperluaskan capaian dan menurunkan kos perkhidmatan internet sebelum ini, ia juga mesti diseimbangkan dengan tanggungjawab memastikan ruang digital kekal selamat.

Ini penting bagi memastikan kanak-kanak terus dilindungi daripada mereka yang berniat tidak baik yang terus memberi ancaman kepada kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, walaupun internet memberi banyak manfaat termasuk urusan jual beli, pembelajaran dan penyampaian maklumat tanpa sempadan, ancaman jenayah siber turut berkembang seiring kemajuan teknologi.

“Penjenayah, scammer dan pembuli juga boleh menyerang kita di mana sahaja. Mereka mengambil kesempatan atas kealpaan dan kelemahan pengguna,” katanya ketika berucap pada Majlis Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, ibu negara, hari ini.
Beliau memaklumkan statistik yang dibentangkan pihak polis menunjukkan jenayah kini beralih secara besar-besaran daripada dunia fizikal ke alam siber, dengan kerugian mencecah jutaan ringgit akibat penipuan pelaburan palsu.

Selain itu, terdapat beberapa kes buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku melalui platform media sosial, sekali gus membuktikan keperluan mendesak untuk memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya golongan bawah umur.
Fahmi turut menegaskan peranan ibu bapa amat penting dalam memastikan keselamatan anak-anak, termasuk mengawal penggunaan peranti dan menetapkan had masa skrin.

“Telefon pintar dan pelan internet dibeli oleh ibu bapa, jadi kawalan juga perlu datang daripada ibu bapa. Kita tidak boleh menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada anak-anak,” katanya.
Tambah beliau, sebagai langkah jangka panjang, kempen keselamatan internet akan diperluaskan ke peringkat komuniti bagi menyampaikan kesedaran mengenai ancaman siber.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
