Kepimpinan PM Wong Ditagih Rakyat Singapura

Wong mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura di Istana pada 23 Mei 2025. Foto The Straits Times

SINGAPURA, 24 Mei – Barisan kepimpinan baharu Singapura diketuai Perdana Menteri, Lawrence Wong yang mengangkat sumpah Kabinet bagi penggal baharu pentadbiran negara ini di Istana pada Jumaat kini dipertaruhkan rakyat republik itu.

Ia susulan Parti Tindakan Rakyat (PAP) meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum, 3 Mei lalu dengan pembangkang hanya memperoleh 10 kerusi.

Majlis itu disiarkan secara langsung melalui televisyen dan platform media sosial, bermula kira-kira jam 8 malam dengan nyanyian lagu kebangsaan Majulah Singapura, diikuti ucapan oleh Presiden, Tharman Shanmugaratnam.

Wong yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan, mengangkat sumpah kesetiaan dan ikrar pelaksanaan tugas dengan disaksikan Tharman dan Ketua Hakim Negara Singapura, Sundaresh Menon.

Wong mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura di Istana pada 23 Mei 2025. Foto AFP

Beliau kemudian menerima surat cara pelantikan daripada Presiden.

Turut mengangkat sumpah selepas itu ialah Menteri Kanan merangkap bekas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong; Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Gan Kim Yong; serta tiga Menteri Penyelaras.

Mereka ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam; Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam dan Menteri Pertahanan, Chan Chun Sing; serta Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial dan Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung.

Selepas itu, sembilan Menteri, 12 Menteri Negara Kanan dan lapan Menteri Negara turut mengangkat sumpah.

Kesemua menteri berkenaan mengangkat sumpah kesetiaan dan ikrar pelaksanaan tugas serta menerima surat cara pelantikan daripada Presiden.

Seorang lagi Menteri Negara, Zhulkarnain Abdul Rahim, akan mengangkat sumpah pada tarikh yang diumumkan kemudian kerana pelantikannya hanya berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026.

Setiausaha Parlimen Kanan juga akan mengangkat sumpah pada tarikh yang berasingan.

Wong mengumumkan barisan Kabinet baharunya pada Rabu lalu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *