Kenderaan Asing Boleh Isi Diesel Maksimum 20 Liter, 30km Dari Sempadan Brunei, Indonesia

Selepas radius 30 kilometer itu, warganegara asing boleh membeli diesel pada kuantiti diperlukan dengan syarat isian bahan api hanya ke dalam tangki kenderaan mereka sahaja. Foto Arkib

PAPAR, 3 Ogos – Kenderaan asing hanya dibenarkan mengisi minyak diesel tidak melebihi 20 liter di stesen minyak Sabah dan Sarawak yang beroperasi dalam radius 30 kilometer dari sempadan Brunei atau Indonesia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata selepas radius 30 kilometer itu, warganegara asing boleh membeli diesel pada kuantiti diperlukan dengan syarat isian itu hanya ke dalam tangki kenderaan mereka sahaja.

Armizan berkata ia berdasarkan Arahan Pengawal Bekalan Di bawah Peraturan 12A, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 berhubung Larangan Penjualan Diesel dan Petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing yang sedang berkuatkuasa dan dikeluarkan pada 17 Jun 2022.

Selepas radius 30 kilometer itu, warganegara asing boleh membeli diesel pada kuantiti diperlukan dengan syarat isian bahan api hanya ke dalam tangki kenderaan mereka sahaja. Foto Arkib

 

“Terdapat kekeliruan di stesen minyak tertentu apabila tular larangan jualan minyak diesel kepada kenderaan asing, mereka khuatir dan keliru dengan peraturan yang sedia ada yang sebenarnya telah dikeluarkan sejak Jun 2022.

“Kita mahu lindungi hak rakyat kita untuk subsidi terbabit, tetapi pada masa sama kita prihatin kerana bagi kita kedatangan pelancong ke Sabah dan Sarawak ini penting untuk ekonomi setempat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jualan Rahmah Papar dan Program Battle of Ethnic di sini malam ini.

Beliau berkata demikian mengulas hantaran tular menerusi media sosial berkaitan konvoi kenderaan pelancong dari Brunei yang menyertai acara ‘off-road’ atau luar jalan raya di Sarawak, namun kumpulan itu berdepan kesukaran mengisi diesel kerana stesen minyak di laluan mereka enggan menjual diesel kepada kenderaan asing.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak peringkat negeri Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada 22 Jun 2024. Foto PMO

 

Armizan berkata isian maksimum 20 liter diesel juga terpakai kepada stesen minyak di Semenanjung yang terletak dalam radius 50 kilometer dari sempadan Thailand dan Singapura berdasarkan peraturan sama, dan warganegara asing boleh mengisi minyak diperlukan dalam kenderaan selepas radius itu.

“Berkemungkinan isu ini berbangkit kerana pengusaha-pengusaha stesen bimbang stesen minyak ditularkan jika menjual kepada kenderaan-kenderaan asing sebagaimana yang banyak berlaku sekarang.

“KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) akan meneruskan advokasi berkaitan arahan ini kepada syarikat dan pengusaha stesen minyak bagi mengelak sebarang kekeliruan,” katanya.

Kenyataan media Kementerian Kewangan mengenai penurunan harga diesel sebanyak 5 sen di Semenanjung kepada RM3.25 seliter bermula 15 Ogos 2024.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kenderaan asing tidak boleh sama sekali diisi dengan minyak petrol RON95 bersubsidi yang telah disediakan untuk rakyat Malaysia, dan warganegara asing hanya dibenarkan membeli petrol RON97 untuk kenderaan masing-masing.

KPDN juga katanya mengambil perhatian tentang rungutan daripada pelancong asing di Sabah dan Sarawak yang sukar mendapatkan bekalan petrol RON97 kerana tidak banyak stesen minyak yang membekalkan petrol terbabit.

“Saya akan mendapatkan laporan segera daripada KPDN Sabah dan Sarawak, dan mencari kaedah penyelesaian terbaik termasuk berbincang dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *