Kemenangan NADI Dalam Anugerah WSIS 2025 Bukti Komitmen Inklusif Digital Negara – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerima anugerah mewakili Malaysia pada majlis penyampaian World Summit on the Information Society (WSIS) 2025 di Geneva, Switzerland pada 7 Julai 2025.
GENEVA, 7 Jul – Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara Hadiah World Summit on the Information Society (WSIS) 2025 menerusi projek inklusif berimpak tinggi, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Kemenangan anugerah yang mengangkat nama negara di pentas antarabangsa itu menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, adalah cerminan inisiatif kerajaan memperkasa komuniti terpencil menerusi literasi digital dan kesalinghubungan membuahkan hasil membanggakan.

Ini ditambah lagi dengan peranan strategik dan komprehensif semua pihak yang memungkinkan pengiktirafan sebegini diraih di peringkat global berkat kesungguhan mengubah kehidupan rakyat di luar bandar.
“Salah satu perkara yang kita akan minta untuk dilaksanakan rekaliberasi, saya nakkan lebih banyak pusat NADI ini mempunyai internet yang lebih laju,” katanya.

Anugerah berkenaan diterima Fahmi mewakili negara dalam satu majlis penyampaian yang berlangsung di Geneva, Switzerland.
Sementara itu Ketua Pejabat NADI, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Mohd Arif Adenan berkata kejayaan ini membuktikan Malaysia berjaya dalam aspek telekomunikasi dan hubungan internet.

Usaha berterusan MCMC dalam memastikan elemen kesalinghubungan kini menerima pengiktirafan global dengan kejayaan menggondol anugerah menerusi kecemerlangan NADI sebagai pusat sebaran maklumat bersepadu.
“Ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak meninggalkan seorang pun rakyat malaysia di dalam aspek telekomunikasi dan hubungan internet di mana kita melalui NADI, MCMC pergi ke seluruh daerah melalui inisiatif 1 DUN 1 NADI,” ujarnya.

Projek NADI Pulau Banggi di Sabah diumumkan sebagai juara kategori C4: Capacity Building hasil kejayaan menyediakan latihan kemahiran digital serta peluang ekonomi kepada komuniti terpencil di pulau tersebut.
Dalam pada itu, Projek Stingray II Pulau Ketam turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi kategori C2: Information and Communication Infrastructure membolehkan penduduk tempatan dan pelancong menikmati internet berkelajuan tinggi yang telah lama ditunggu sejak puluhan tahun lalu.
Projek yang dibangunkan dengan jarak sejauh 46.4 kilometer ini bermula dari TM node Kapar ke Beach Manhole Jeram, Klang dan seterusnya merentasi dasar laut ke TM Node Pulau Ketam telah bermula dari Mac 2021 dan selesai pada Julai 2023.

Projek ini membolehkan perkhidmatan Internet tetap berkelajuan tinggi disediakan di Pulau Ketam yang memberikan manfaat kepada lebih kurang 6000 penduduk serta pelancong di Pulau Ketam.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

