Kematangan Politik Pakatan Harapan Legakan Rakyat Negeri Sembilan

Pendekatan berlandaskan undang-undang ini bukan sahaja memperkukuh integriti institusi diraja, malah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik yang dipertahan Pakatan Harapan. Foto Facebook Aminuddin Harun
PENDAPAT, 1 Mei – Mendasari susur galur kemelut politik di Negeri Sembilan sebenarnya menyerlahkan satu sisi amat positif buat Pakatan Harapan (PH) – kematangan politik yang melegakan rakyat, jauh sekali dipengaruhi hiruk-pikuk mana-mana pihak yang cuba ‘menebuk atap’ kerajaan negeri sendiri.
Situasi politik kini dilihat berpotensi memberi kelebihan besar kepada PH khususnya dalam konteks mempertahankan institusi diraja, dalam konteks ini, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang berakar daripada sistem adat dan perundangan unik negeri tersebut.
Pendekatan PH yang konsisten menghormati struktur tradisi serta kedaulatan undang-undang memberi gambaran kematangan politik sebenar baik daripada KEADILAN, AMANAH mahupun DAP apabila mengamati sidang media PH di kediaman rasmi Menteri Besar pada Isnin lalu.

Ini ditambah lagi dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermusyawarah dengan semua pihak dalam kalangan pimpinan politik bahkan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, jelas merupakan satu langkah bijak dan matang Pengerusi PH itu.
Usaha dan cubaan memerangkap Anwar dengan kenyataan provokasi pihak tertentu menemui kegagalan, malah kenyataan ringkas beliau bahawa situasi itu bukan masa untuk perebutan kuasa menunjukkan beliau memahami punca krisis di Negeri Sembilan.
Keistimewaan Negeri Sembilan terbentuk melalui sistem Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan yang menggariskan peranan penting Undang dan adat Perpatih dalam pelantikan Yang di-Pertuan Besar.

Justeru, sebarang isu berkaitan institusi ini tidak boleh dipolitikkan sewenang-wenangnya, apatah lagi dimanipulasi demi kepentingan jangka pendek kerana Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) hanya setahun lebih sahaja lagi.
Meskipun terdapat pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi isu melibatkan Undang dan adat bagi meraih sokongan orang Melayu, namun kita ucapkan syabas atas ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran terhadap mana-mana pihak yang membuat sebarang kenyataan berhubung isu melibatkan adat Negeri Sembilan.
“Saya cuma memohon kepada semua pihak supaya bertenang, dan tidak membuat sebarang komen yang saya rasa tidak perlu.

“Bagi pihak-pihak yang berkaitan, saya minta supaya tidak membuat sebarang komen yang mungkin boleh menjejaskan usaha-usaha bagi memastikan semuanya kembali kepada keadaan sediakala,” kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Berdasarkan pemerhatian semasa, PH memilih untuk mengekalkan prinsip bahawa sebarang isu perlu diselesaikan mengikut saluran sah dan tertib yang telah ditetapkan oleh undang-undang dan perlembagaan negeri.
Pendekatan berlandaskan undang-undang ini bukan sahaja memperkukuh integriti institusi diraja, malah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik yang dipertahan PH. Ia juga mencerminkan komitmen PH dalam memelihara keseimbangan antara undang-undang tubuh negeri dan keperluan pentadbiran moden.

PH dengan kepimpinan Anwar di pusat dan Datuk Seri Aminuddin Harun di negeri untuk mengurus isu sensitif ini secara berhemah dan berlandaskan undang-undang, memberikan kelebihan strategik dalam landskap politik Negeri Sembilan.
Kita menghargai setiap pemahaman rakyat terutama di Negeri Sembilan yang tidak cepat melatah apatah lagi memburuk-burukkan institusi diraja dan adat mereka.
Malah lebih penting, rakyat tidak termakan dengan permainan segelintir ahli politik yang gilakan kuasa dan tamakkan jawatan sedangkan kawasan sendiri pun belum berupaya diangkat dari segi ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
