Kemajuan Negara Perlu Seiring Dengan Nilai Budi Pekerti Tinggi – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth bagi sambutan kemuncak Hari Malaysia 2025 pada 16 September 2025. Foto Ariff Sarbri / Bernama
BUTTERWORTH, 16 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kemajuan sesebuah negara tidak boleh hanya diukur melalui kecanggihan teknologi dan ekonomi semata-mata, sebaliknya mesti digerakkan bersama nilai budi pekerti tinggi.
Perdana Menteri berkata, perkara itu adalah asas kepada kepimpinan Kerajaan MADANI yang berusaha membangunkan negara secara menyeluruh tanpa mengorbankan nilai insaniah.
“Negara MADANI yang kita impikan bukan sekadar membina pertumbuhan ekonomi, digital dan kecerdasan buatan (AI), malah memastikan ia seiring dengan nilai budaya dan budi pekerti. Kita tidak mahu maju seperti negara barat yang hanya menekankan kemajuan material semata-mata.

“Kita mahu kemajuan dalam bidang teknologi, tenaga dan digital, tetapi dalam masa sama mengekalkan budaya, sikap, dan budi pekerti yang luhur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, di sini malam ini.
Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri, Toh Puan Raja Nora Ashikin Raja Abdullah, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Sambutan bermula jam 8.30 malam itu diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan merangkumi lima segmen utama yang menampilkan identiti serta warisan Melayu, Cina, India, dan Bumiputera Sabah serta Sarawak.
Pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah adalah selaras keputusan Jemaah Menteri pada 24 Jun 2020, yang menetapkan sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir di seluruh negeri.
Majlis turut menyaksikan acara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
