Keluarga Teoh Beng Hock Adakan Pertemuan Dengan PM Anwar

Pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan keluarga mendiang Teoh Beng Hock (gambar kecil) diadakan di Perdana Putra bermula jam 3 petang tadi.
PUTRAJAYA, 1 Ogos – Ahli keluarga mendiang bekas Setiausaha Politik EXCO Selangor daripada DAP, Teoh Beng Hock hadir ke Perdana Putra hari ini untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka tiba di Perdana Putra pada jam 3 petang disertai ibu bapa Beng Hock.
Turut hadir, adik perempuan mendiang Lee Lan, anaknya Er Jia, wakil isteri Cher Wei serta Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh.
Difahamkan pertemuan dengan Perdana Menteri itu bagi memohon agar satu siasatan yang benar-benar bebas dan profesional dijalankan mengenai kematian Beng Hock dan pelaku dibawa ke muka pengadilan.
Pertengahan Julai lalu media melaporkan, Anwar akan berjumpa keluarga mendiang Beng Hock yang meninggal dunia dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009.
Perdana Menteri juga memberi jaminan akan meneliti tuntutan yang terkandung dalam memorandum yang mahu diserahkan kepada beliau, sebelum ini.
Beng Hock yang juga saksi SPRM, ditemui mati dan asalnya dipercayai jatuh dari bangunan sebelum Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kes itu pada 2011 memutuskan kematiannya kerana membunuh diri, berikutan siasatan yang dijalankan SPRM.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
