‘Keluarga Malaysia’: Proses Pemindahan Wang Lucut Hak Ismail Sabri Bermula Hari Ini

Ismail Sabri dirawat di hospital dan doktor memberinya sijil sakit sehingga 12 Mac 2025 sebelum SPRM merakam keterangan daripada bekas perdana menteri itu hingga membawa kepada pelucutan hak RM169 juta yang tidak dicabar di mahkamah.
PUTRAJAYA, 9 Sep – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan proses pelucutan hak wang tunai hampir RM170 juta milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai dan akan dipindah milik kepada kerajaan bermula hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pemindahan wang itu ke akaun kerajaan akan dijalankan selepas tiada permohonan cabaran dilakukan oleh pihak Ismail dalam mahkamah semalam.
“Ini bermakna cara rasminya wang ini adalah menjadi hak milik kerajaan dan proses untuk memasukkan wang ini dalam Consolidated Fund (Dana Kewangan Disatukan) akan dimulakan pada hari ini.

“Mungkin dalam tempoh terdekat akan masuk dalam akaun kerajaan,” ujarnya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Tambahnya, setakat ini tiada pertuduhan dikenakan terhadap Ahli Parlimen Bera itu namun keputusan berkenaan boleh berubah bergantung kepada bidang kuasa Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Saya tidak pernah sebutkan kami tidak akan menuduh beliau di mahkamah namun keputusannya saya serahkan kepada TPR untuk menuduh atau tidak.

“Pihak Pendakwa Raya adalah entiti yang bebas. Jadi pihak kami sebagai pegawai eksekutif yang menjalankan penyiasatan kami tidak ada sebarang kawalan dari segi garis masa mereka untuk membuat keputusan.
“Saya rasa sudah tentu pihak TPR juga mempunyai satu polisi yang tertentu yang diketuai oleh Peguam Negara menetapkan tentang garis masa sesuatu kes untuk membuat keputusan dan sebagainya bergantung kepada keadaan kes-kes berkenaan,” katanya.
Pada 7 Julai lepas, SPRM memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang didakwa milik Ismail Sabri, yang disita daripada Mohammad Anuar kepada kerajaan Malaysia.

Permohonan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 setelah berpuas hati bahawa wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
