Kekuatan Infrastruktur Bantu AWS Perkukuh Kedudukan Malaysia Hab Digital Utama – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden Dasar Awam Amazon Web Services (AWS), Michael Punke bersama delegasi di pejabatnya di Putrajaya pada 17 April 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 17 Apr – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kewujudan Amazon Web Services (AWS) yang menekankan bahawa kekuatan infrastruktur dan kecekapan rantaian pembekalan Malaysia, merupakan antara faktor utama kepada kejayaan pelaburan mereka.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden Dasar Awam AWS, Michael Punke dan delegasi syarikat gergasi itu di pejabatnya hari ini.

Menerusi satu hantaran di laman X, Anwar berkata, kunjungan tersebut menandakan komitmen berterusan AWS terhadap pelaburan strategik di negara ini, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital utama di rantau Asia Tenggara.
Beliau berkata, dalam pertemuan itu perbincangan tertumpu kepada kemajuan pelaburan AWS dan kesannya terhadap ekonomi negara.

“Itu termasuk dalam usaha mempercepat agenda transformasi digital dan penggunaan awan Kerajaan MADANI, pembangunan bakat tempatan serta komitmen terhadap kelestarian,” katanya di sini hari ini.
“Justeru, saya tekankan bahawa AWS harus terus memperluas limpahan peluang kepada syarikat tempatan untuk terlibat secara lebih bermakna dalam ekosistem global mereka.

“Kerajaan akan terus memperkukuh dasar sedia ada bagi memastikan manfaat jangka panjang daripada pelaburan strategik ini, di samping menggalakkan kerjasama lebih luas antara pembekal tempatan dengan ekosistem pusat data dan teknologi awan,” katanya.
Turut menghadiri pertemuan itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
