Kekuatan Ekonomi Domestik, Usaha Kerajaan Kunci Pengukuhan Ringgit – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya. Foto Facebook Kementerian Kewangan

PUTRAJAYA, 6 Ogos – Kekuatan ekonomi domestik serta dasar kurang popular seperti penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan meningkatkan keyakinan pelabur sekali gus menyumbang kepada pengukuhan ringgit.

Ringgit mengukuh dan mencatatkan tempoh rali peningkatan sejak 11 hari lalu, sekali gus menjadikannya rali terpanjang dalam tempoh 14 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keadaan itu turut dibantu hasil usaha dan peranan yang dimainkan pelbagai pihaknya khususnya Kementerian Kewangan serta agensi di bawahnya.

Katanya, situasi ekonomi dan ringgit ketika ini dalam kedudukan sangat meyakinkan walaupun keadaan geopolitik dunia agak membimbangkan.

“Kalau kita lihat angka, tetapi kenyataannya tidak boleh dimungkiri iaitu kekuatan ringgit ketimbang 14 tahun (lalu) sangat membanggakan.

“Tentu ada sebab (dan) faktornya, kenapa ada keyakinan? Kerana kekuatan ekonomi domestik, langkah diambil, jadi ini kalau tonggaknya, tentulah keluarga Kementerian Kewangan,” katanya menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Kementerian Kewangan hari ini.

Ringgit hari ini dibuka kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan prospek penurunan kadar faedah AS semakin ketara, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.4240/4305 berbanding dolar AS daripada 4.4945/4995 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4200/4300 berbanding dolar US daripada 4.4240/4305 pada Isnin.

Tahun ini, ringgit mencatatkan kenaikan yang memberangsangkan, meningkat 4.1 peratus berbanding dolar US, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

“Dalam pada itu, ringgit melonjak berbanding mata wang serantau, naik 10.5 peratus berbanding won Korea Selatan, 9.5 peratus berbanding rupiah Indonesia, 8.6 peratus berbanding peso Filipina, 7.8 peratus berbanding baht Thailand dan 4.4 peratus berbanding dolar Singapura.

“Bagaimanapun, aktiviti pengambilan untung yang tidak menentu mungkin berlaku kerana peniaga mungkin terdorong mengambil keuntungan untuk sementara waktu,” katanya.

Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit kekal sekitar RM4.42 hingga RM4.43 berbanding dolar AS hari ini.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *