Kejayaan JDT Wajar Diterjemah Bangunkan Sukan Dipertanding Di Olimpik – Faizul Abd. Ghani

Faizul Abd. Ghani mahu kejayaan JDT menjulang Piala FA pada Sabtu wajar diterjemahkan untuk membangunkan sukan yang dipertandingkan di Sukan Olimpik. Foto Facebook Faizul Abd. Ghani

KLUANG, 25 Ogos – Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil wajar diraikan seluruh rakyat negeri Johor yang banyak memberi sokongan padu mendoakan kejayaan pasukan Harimau Selatan itu pada Sabtu.

Pemimpin KEADILAN Johor, Faizul Abd. Ghani menyifatkan kemenangan besar 6-1 ke atas Selangor FC itu sesuatu di luar jangkaan namun kemenangan itu juga seharusnya diterjemahkan kepada pembangunan sukan lain yang dipertandingkan terutama di Sukan Olimpik.

“Saya mengucapkan tahniah kepada JDT atas kejayaan merangkul Piala FA malam tadi namun saya berharap acara lain terutama yang dipertandingkan di Sukan Olimpik wajar dijadikan keutamaan.

Pasukan Johor Darul Ta’zim meraikan kejayaan selepas berjaya menewaskan pasukan Selangor FC dengan keputusan 6-1 pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. Foto Bernama

“Sebagai contoh, kejayaan Mohamad Aniq Kasdan anak jati Segamat, Johor menduduki tempat keempat acara angkat berat pada Sukan Olimpik Paris 2024 lalu seharusnya disusuli dengan pembangunan sukan di peringkat negeri bagi melahirkan atlet bertaraf dunia yang mampu meraih pingat pada Sukan Olimpik Los Angeles empat tahun lagi,” ujarnya.

Menyentuh mengenai persembahan Harimau Selatan malam tadi beliau melihat kesemua pemain skuad telah mempamerkan aksi terbaik di sepanjang perlawanan dan mampu menjulang piala hatrik buat negeri itu.

“Kejayaan skuad JDT menjadi pemangkin kepada anak muda di negeri ini bagi mempamerkan bakat mewakili negeri seterusnya mengharumkan nama negeri dan kelab di benua Asia selepas ini,” ujarnya lagi.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *