Kedudukan Pertama Malaysia Dalam Skor Ketekalan 5G Dunia Satu Pencapaian Penting – Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (tengah) ketika merasmikan Pavilion Malaysia buat julung kali disediakan sempena Mobile World Congress Barcelona 2024 di Barcelona, Sepanyol pada Isnin. Foto X Fahmi Fadzil

BARCELONA, 26 FebMalaysia kini berada di tempat pertama dalam Skor Ketekalan 5G global pada 97.29 peratus menurut Ookla, satu daripada peneraju dunia dalam pemantauan rangkaian dan cerapan kesalinghubungan. 

Ketika mengumumkan pencapaian Malaysia ini pada pembukaan Pavilion Malaysia di Mobile World Congress Barcelona 2024 (MWC2024), Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ini merupakan satu pencapaian penting yang mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai satu pemain terkemuka dalam lanskap digital global.

“Ini bukan hanya membuktikan komitmen Malaysia kepada kemajuan teknologi tetapi juga menggambarkan usaha  bersepadu oleh industri telekomunikasi, badan kawal selia dan agensi kerajaan untuk membangunkan infrastruktur 5G yang lasak dan diyakini.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan Pavilion Malaysia di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (tengah) ketika merasmikan Pavilion Malaysia buat julung kali disediakan sempena Mobile World Congress Barcelona 2024 di Barcelona, Sepanyol pada Isnin. Foto X Fahmi Fadzil

Skor ketekalan merupakan kaedah khusus Ookla dalam mengukur kelajuan yang perlu memenuhi kedua-dua kriteria – memuat turun dan menaik turun – masing-masing pada 25 megabait sesaat (Mbps) dan 3Mbps.

Menduduki tempat pertama dalam Skor Ketekalan 5G bukan hanya untuk mendabik dada tetapi Fahmi berkata  ia adalah untuk membuka keseluruhan potensi teknologi pengubah keadaan ini untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menambah baik kebajikan sosial dan memupuk sebuah masyarakat yang lebih terangkum.

“Dengan infrastruktur 5G yang lasak tersedia, kami bersedia untuk menyegerakan inovasi merentas pelbagai sektor daripada penjagaan kesihatan dan pendidikan kepada pembuatan dan pertanian, membuka peluang baharu dan memperkasakan perniagaan, usahawan dan individu,” katanya.

Beliau juga berkata pencapaian ketara ini tidak boleh diperkatakan berlebih-lebihan, di mana dalam dunia yang mengalami pehubungan hiper, kesalinghubungan tanpa henti merupakan nadi kepada inovasi dan kemajuan, menjadikan rangkaian 5G yang boleh diharap amat diperlukan.

“Ia berfungsi sebagai tulang belakang untuk teknologi transformasi seperti Internet Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR), bagi membolehkan aplikasi dan perkhidmatan baharu yang akan mentakrifkan semula cara kita hidup, bekerja dan berinteraksi,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini mengenai sebuah syarikat penyedia perkhidmatan komunikasi di Malaysia telah mempamerkan percubaan sulung teknologi termaju 5G di Malaysia dan Asia Tenggara, Fahmi menzahirkan harapannya untuk melihat lebih banyak lagi pemain industri merintis teknologi inovatif yang akan membantu perusahaan di Malaysia untuk meningkat naik dalam rantaian nilai menerusi penyelesaian komersial dan industri generasi akan datang.

“Ini akan meletakkan Malaysia sebagai satu daripada pendahulu dalam telekomunikasi global,” katanya.

Mengenai tema Pavilion Malaysia “Accelerating a Connected Tomorrow,” Fahmi berkata ia merumuskan wawasan Kerajaan Malaysia untuk masa hadapan teknologi komunikasi.

Accelerating” menandakan komitmen kami untuk memacu kemajuan dan inovasi pada kepantasan yang tidak pernah berlaku dahulu bagi memastikan Malaysia kekal di hadapan dalam kemajuan teknologi.

Connected Tomorrow’ – wawasan masa hadapan kami untuk sebuah masa hadapan yang tanpa henti, sentiasa ada dan terangkum dengan teknologi menjadi pemangkin untuk pembangunan sosial dan ekonomi,” katanya.

Beliau juga berkata di penghujung 2023, 8.4 juta premis di Malaysia telah disediakan dengan akses kepada gentian optik dengan purata kelajuan jalur lebar bergerak mencapai 178.1 Mbps sementara liputan Internet dalam kawasan berpenduduk mencecah 97.07 peratus.

MWC2024 Dimanfaat Tingkat Kadar Penerima Gunaan 5G Negara – Fahmi

“Bagaimanapun, tugas kami belum selesai. Apabila kami melihat ke masa depan, kami perlu kekal komited untuk melengkapkan baki tiga peratus liputan dalam kawasan berpenduduk, memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai akses kepada kesalinghubungan Internet berkelajuan tinggi dan boleh diharap,” katanya.

Fahmi juga menzahirkan harapannya agar pempamer Malaysia mampu meraih peluang di sepanjang empat hari MWC2024 untuk memupuk kerjasama dengan rakan kongsi global, mempromosi Malaysia sebagai sebuah hab inovasi dan peluang serta menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi negara  untuk mempertingkatkan kesalinghubungan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *