Kecaman Berlebihan Tak Bantu Penyelesaian Damai Untuk Gaza – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau, Jasin pada 19 Oktober 2025. Foto Abdul Razak Abdul Rahman
JASIN, 19 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas sesetengah pihak yang disifatkannya melontarkan pandangan keterlaluan berhubung rundingan damai gencatan senjata membabitkan Hamas-Israel.
Perdana Menteri berkata, kecaman berlebihan sedemikian, terutama berhubung pembabitan Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan dijalankan, tidak membantu untuk memberikan penyelesaian damai kepada Gaza.
Jelas Anwar, semalam beliau sempat berhubung dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi untuk menzahirkan ucapan terima kasih atas khidmat dan jasanya bersama negara Arab, termasuk Turkiye kerana sekurang-kurangnya menghentikan serangan Israel ke atas Gaza.

“Saya beritahu apa kerunsingan saya, kita tak setuju semua penyelesaian 20 Perkara (dicadangkan Presiden Donald Trump), tapi saya dengar juga (pandangan) lain termasuk Hamas yang berunding dengan Israel.
“Jadi yang kita nak lebih daripada Hamas itu kenapa? Orang di situ termasuk Hamas yang berunding, sikap kita pula nak ajar lagi, sedangkan Hamas ini yang bertempur dengan ribuan sudah mati.
“Kita pula cakap jangan berunding dengan AS dalam rundingan yang turut disertai Mesir dan Qatar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat di Politeknik Merlimau, Melaka yang disiarkan secara langsung melalui laman sosial RTM, hari ini.

Anwar turut berkata, sekurang-kurangnya rundingan dijalankan itu berhasil untuk menghentikan serangan berterusan Israel ke atas Gaza.
Dalam perbualan dengan pemimpin Mesir semalam, tegas Perdana Menteri, beliau turut menyuarakan kepada al-Sisi mengenai kebimbangan Malaysia terhadap kemungkinan Israel melakukan serangan semula.
“Sisi memberitahu, Mesir akan adakan satu persidangan pada November depan dan beliau akan ambil perkara yang kita bangkitkan yang tak termasuk dalam 20 perkara (cadangan Trump).
“Ketika ini, trak bawa makanan sudah dibenarkan masuk, kita juga minta (Mesir membuka) laluan untuk sukarelawan kita masuk dan Sisi memberikan jaminan itu,” katanya.
– Oleh Latifah Arifin
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
