Kebocoran Surat Kepada Muhyiddin Dedah Krisis Bersatu Makin Serius

Seramai 16 ahli parlimen parti itu menandatangani sepucuk surat yang diserahkan kepada Muhyiddin bagi menyatakan kebimbangan serius mereka terhadap polemik dalaman yang sedang melanda parti itu.
KUALA LUMPUR, 1 Nov – Insiden kebocoran dokumen sulit berupa sepucuk surat didakwa mengandungi tandatangan 16 ahli parlimen Bersatu terhadap Muhyiddin Yassin, membuktikan parti itu semakin terjerumus ke dalam kancah politik dalaman lebih serius.
Berdasarkan foto yang tular di media sosial, dianggarkan seramai 16 ahli parlimen parti itu menandatangani sepucuk surat yang diserahkan kepada Muhyiddin bagi menyatakan kebimbangan serius mereka terhadap polemik dalaman yang sedang melanda parti itu.
Menerusi surat bertarikh 23 Oktober lalu itu, mereka turut menegaskan pendirian bahawa pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan penggantungan keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal, sebagai langkah tidak bijak.

Ahli parlimen berkenaan menyifatkan hukuman itu tidak kena pada masanya, sekali gus dilihat boleh mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap pembentangan Gagasan Belanjawan Perikatan Nasional (PN) oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Malah, mereka tidak bersetuju dengan keputusan parti untuk memanggil Hamzah yang juga Timbalan Presiden parti untuk dihadapkan ke Lembaga Disiplin, sekali gus menyifatkan tindakan itu sebagai tidak masuk akal.
Ahli Parlimen Mahkota, Saifuddin Abdullah – antara yang menandatangani surat itu – mengesahkan dokumen berkenaan telah dihantarnya sendiri kepada Muhyiddin di Parlimen pada 27 Oktober lalu.

Beliau yang juga bekas Pengerusi PN Pahang itu juga mengesahkan Muhyiddin sudah membaca surat berkenaan dan memberikan maklum balas.
Saifuddin berkata, Muhyiddin memaklumkan keputusan dibuat Lembaga Disiplin Bersatu itu adalah mengikut Perlembagaan parti dan beliau tidak pernah sesekali masuk campur.
“Saya kata surat itu mengenai Ahli Parlimen Bersatu menyampaikan luahan kebimbangan mereka, bukannya membuat rayuan bagi pihak tiga Ahli Parlimen itu (Hamzah, Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal).

“Saya juga maklumkan kepada Ahli Parlimen berkenaan mengenai jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan saya kata jangan buat apa-apa lagi.
“Seramai 16 Ahli Parlimen bersolidariti dengan tiga Ahli Parlimen yang terkait Lembaga Disiplin. Jadi (jumlahnya) 19 Ahli Parlimen.
“Kami tidak membabitkan dua Ahli Parlimen lain berjawatan Naib Presiden parti. Jadi, jumlahnya mungkin lebih 19 daripada 25 Ahli Parlimen,” katanya.

Tambahnya, mereka yang turut menandatangani surat bertajuk ‘Kebimbangan Serius Ahli-Ahli Parlimen Terhadap Polemik Dalaman BERSATU’ itu ialah Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor, dan Muhammad Islahuddin Abas (Mersing).
Seterusnya, Fathul Huzir Ayob (Gerik); Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Abdul Khalib Abdullah (Rompin) dan Nordin Ahmad Ismail (Lumut).
Selain itu, Zakri Hassan (Kangar); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Muslimin Yahaya (Sungai Besar); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Azahari Hasan (Padang Rengas); Kalam Salan (Sabak Bernam); dan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok) turut berbuat demikian.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
