KEADILAN Sabah Tepis Dakwaan Tak Jemput Warisan – Razeef

Ketua Penerangan KEADILAN Sabah Mohamad Razeef Rakimin (tengah) menunjukkan bukti berupa surat jemputan serta tangkap layar menerusi aplikasi WhatsApp bagi menolak tohmahan KEADILAN Sabah tidak menjemput Warisan ke Himpunan Perdana Rakyat pada 4 Ogos lalu. Foto Daily Express/Hayati Dzulkifli

KOTA KINABALU, 30 Ogos – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah menepis dakwaan beberapa pihak mendakwa kononnya tidak mengundang Parti Warisan (Warisan) ke Himpunan Perdana Rakyat KEADILAN Sabah yang berlangsung pada 4 Ogos 2024 lalu.

Sambil menyifatkan ia adalah satu tuduhan tidak berasas, Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Pusat merangkap Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Razeef Rakimin tampil menyertakan bukti bagi menolak tohmahan tersebut seolah-olah KEADILAN Sabah tidak menghormati rakan dari Kerajaan Perpaduan.

“Untuk makluman himpunan yang dihadiri lebih 15,000 anggota dan penyokong KEADILAN itu turut dihadiri rakan pimpinan dari Pakatan Harapan iaitu DAP, AMANAH dan UPKO.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut kira-kira 15,000 orang yang hadir mendengar pidato rakyat pada Himpunan Perdana Rakyat KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada 4 Ogos 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Selain itu rakan-rakan pimpinan dari PGRS, Barisan Nasional (BN), LDP, STAR, PCS, PBS, PBRS, MCA serta beberapa parti lain juga turut hadir.

“Hanya USNO dan Warisan memaklumkan tidak dapat menghadiri acara ini kerana mempunyai komitmen lain,” jelasnya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Razeef pada mula pihaknya tidak mahu mengambil peduli perihal kenyataan dakwaan itu tetapi pihak pimpinan Warisan hanya mendiamkan diri seolah membenarkan tuduhan itu.

“Pada mulanya kita tidak berniat untuk respon namun tindakan pimpinan Warisan yang mendiamkan diri seolah membenarkan tuduhan anggota parti mereka bahawa KEADILAN sengaja tidak menjemput Parti Warisan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Himpunan Perdana Rakyat KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Di sini kita sertakan salinan surat jemputan serta bukti bahawa KEADILAN telah menghantar jemputan berserta maklum balas dari Setiausaha Agung Warisan, Loretto Sipin bahawa pimpinan Warisan tidak dapat hadir kerana menghadiri retreat.

“Oleh kerana itu kami tidak mahu lagi timbul fitnah bahawa kami tidak memanggil Warisan,” tegas beliau.

Sementara itu, pada sidang media sama Razeef turut memaklumkan beberapa aktiviti KEADILAN Sabah.

“Bermula 14 September hingga 26 Oktober 2024, kesemua 25 Cabang KEADILAN Sabah akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) kali ke-2 bagi sesi 2022-2025.

Kira-kira 15,000 orang hadir mendengar pidato Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Himpunan Perdana Rakyat KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada 4 Ogos 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Konvensyen Pemerkasaan Organisasi Parti (POP25) & KEADILAN Menang Siri Pilihanraya ke-16 (KEMAS16) akan diadakan pada 5 Oktober 2024. Konvensyen ini sepatutnya berlangsung pada 4 Ogos lalu namun terpaksa ditunda atas sebab tertentu.

“Program ini dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden dan dihadiri oleh pimpinan utama KEADILAN,” katanya.

Selain itu, katanya, Konvensyen Angkatan Muda Keadilan (AMK) Zon Borneo akan dijadualkan berlangsung pada 21 September ini di Kota Kinabalu. Pihak AMK akan mengumumkan ketetapan program selepas keputusan muktamad dibuat.

“Setakat ini KEADILAN Sabah padat dengan pelbagai program termasuk beberapa latihan memperkasakan organisasi dan jentera pilihan raya.

“Kami serius kepada memperkukuh organisasi parti serta persediaan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa.

“Saya juga ingin memaklumkan sebagai Ketua Penerangan Negeri serta jurucakap rasmi KEADILAN Sabah, saya akan mengadakan sidang media mingguan setiap hari Sabtu yang mana kita akan memaklumkan perkembangan terkini, aktiviti-aktiviti serta menjawab beberapa isu serta persoalan.

“Kita juga akan menampilkan pimpinan utama seperti Pengerusi, Timbalan Pengerusi merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri serta pimpinan utama negeri mengikut isu yang kita ingin bawa pada satu-satu sidang media,” katanya.

Razeef turut memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan hadir pada Mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan diadakan di Kota Kinabalu pada 12 September 2024.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *