KEADILAN Sabah Tepis Dakwaan Jadi Penghalang Kerjasama Warisan Dan Umno

Mohd Amin Abdul Mem yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN Sabah menjelaskan KEADILAN bukan jadi penghalang bagi kerjasama antara Warisan dan Umno di Sabah. Foto Facebook PKR Sabah

KOTA KINABALU, 23 Ogos – Sumber dalaman KEADILAN Sabah menepis dakwaan parti itu menjadi penghalang kerjasama Warisan dan Umno bagi menghadapi PRN akan datang.

Semalam, Utusan Malaysia memetik sumber Warisan yang berkata mereka menganggap KEADILAN boleh menjadi penghalang kerjasama Warisan dan Umno, sebab presidennya, Shafie Apdal, tidak diundang ke Himpunan Perdana Rakyat.

Acara di Kota Kinabalu itu, yang diadakan pada 4 Ogos lepas, meraikan 25 tahun penubuhan KEADILAN Sabah dan dihadiri pemimpin Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Umno Sabah.

Seorang pemimpin kanan KEADILAN Sabah, Mohd Amin Abdul Mem yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN Sabah bagaimanapun berkata pimpinan Warisan diundang ke acara tersebut.

“KEADILAN Sabah telah hantar surat untuk mengundang semua pemimpin parti cuma mereka yang tidak hadir,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan asas kepada dakwaan ini.

Dakwaan mengatakan KEADILAN menjadi penghalang kerjasama Warisan dan Umno adalah tidak berasas sama sekali, lebih-lebih lagi dengan hanya bersandarkan ketidakhadiran pemimpin Warisan pada Himpunan Perdana Rakyat tempoh hari, katanya.

Himpunan Perdana Rakyat di Kota Kinabalu pada 4 Ogos lepas meraikan 25 tahun penubuhan KEADILAN Sabah dan dihadiri pemimpin PH, GRS, dan Umno Sabah. Foto Facebook Anwar Ibrahim

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada Oktober tahun depan dan PRN17 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Desas-desus kerjasama Warisan dan Umno untuk berdepan PRN mula bertiup sejak Disember lalu susulan kehadiran Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin ke Perhimpunan Agung Tahunan Warisan.

Timbalan ketua Umno Sabah Abdul Rahman Dahlan bagaimanapun pada Jun mendedahkan Umno belum membuat sebarang ketetapan rasmi dan Umno Sabah belum pun bermesyuarat mengenai isu itu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *