KEADILAN Kedah Tempelak Pihak Perkecil Usaha Diplomasi PM – Tunku Nashrul

Pengarah Komunikasi, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kedah, Tunku Nashrul Abaidah. Foto Facebook Anwar Ibrahim

ALOR SETAR, 16 Apr – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Kedah menempelak kenyataan yang memperkecil usaha diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani krisis antarabangsa yang disifatkan tidak wajar dan bermotifkan politik sempit.

Menurut Pengarah Komunikasi, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kedah, Tunku Nashrul Abaidah, dalam satu kenyataan menegaskan, tindakan menghubungi pemimpin dunia secara langsung merupakan pendekatan penting dalam landskap geopolitik semasa yang semakin kompleks dan pantas berubah.

Justeru, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak memperlekeh usaha diplomasi yang dilakukan hanya kerana perbezaan politik, sebaliknya memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat dan keselamatan negara.

Kenyataan media KEADILAN Kedah yang dikeluarkan Pengarah Komunikasi MPN Kedah, Tunku Nashrul Abaidah pada 16 April 2026.

“Janganlah kita memperkecil usaha diplomasi hanya demi kepentingan politik sempit, sedangkan hasilnya memberi kesan langsung kepada keselamatan dan ekonomi negara.

“Dalam keadaan krisis global yang saling berkait, kepimpinan memerlukan tindakan pantas termasuk komunikasi terus antara pemimpin bagi menyelaras respons dan meredakan ketegangan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah yang menyifatkan tindakan Perdana Menteri menghubungi pemimpin negara lain sebagai perkara biasa dan tidak wajar dianggap sebagai pencapaian luar biasa.

Tunku Nashrul yang juga Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri berkata, dakwaan bahawa pendekatan tersebut sekadar ‘diplomasi biasa’ adalah tidak tepat kerana situasi semasa memerlukan tindakan strategik dan responsif.

Sebagai contoh, katanya, Anwar telah menerima panggilan lebih awal daripada rakan sejawatnya dari Pakistan sebelum tampil sebagai orang tengah dalam rundingan melibatkan Amerika Syarikat dan Iran.

“Perkembangan ini membuktikan diplomasi hari ini tidak lagi terikat kepada kerangka formal semata-mata, sebaliknya memerlukan kecekapan serta keupayaan bertindak segera,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif pada 26 Mac 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau turut menegaskan, pendekatan tersebut membuahkan hasil apabila Malaysia antara negara terawal berjaya memastikan laluan kapal minyaknya tidak terjejas ketika krisis berlaku.

“Dalam keadaan ratusan kapal dari pelbagai negara masih terkandas, Malaysia berjaya mengurus situasi dengan lebih awal hasil pendekatan diplomasi yang strategik dan berkesan,” katanya.

Tambahnya, dalam era teknologi dan keterbukaan maklumat, rakyat berhak mengetahui langkah yang diambil kerajaan dalam melindungi kepentingan negara termasuk aspek keselamatan dan ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, dalam suasana Aidilfitri yang penuh makna pada 25 Mac 2026. Foto X Anwar Ibrahim

Terdahulu, media melaporkan perbahasan hangat tercetus pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu berhubung isu krisis minyak global serta tindakan kerajaan Persekutuan dalam menangani bekalan dan harga bahan api.

Dalam perbahasan tersebut, Dr Haim Hilman dilaporkan berkata, hubungan Malaysia dengan Iran bukan sesuatu yang luar biasa dan tindakan menghubungi pemimpin negara lain merupakan amalan biasa dalam hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G), selain ‘tidak perlu diperbesarkan’ kepada umum.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *