KEADILAN Harus Angkat Semula Bekas EXCO Sebagai Calon PRK DUN Sungai Bakap

Bekas Exco Kerajaan Pulau Pinang Dato’ Abdul Halim Hussain mempunyai pengalaman luas dalam selok-belok pentadbiran kerajaan negeri yang boleh dipertimbangkan bagi diturunkan sebagai calon DUN Sungai Bakap.
PENDAPAT, 30 Mei – SAUDARA PENGARANG,
PRK akan datang lagi selepas baru sahaja selesai proses memilih calon wakil rakyat bagi kerusi Dun Kuala Kubu Bahru yang akhirnya kekal menjadi milik parti kerajaan perpaduan.
Tentunya akan menjadi sebutan oleh para pemerhati politik kerana PRK pada kali ini akan diadakan di Seberang Perai Selatan Pulau Pinang susulan kematian penyandang kerusi Dun Sungai Bakap iaitu seorang wakil rakyat daripada parti Perikatan Nasional akibat menghadapi masalah kesihatan yang serius.
Apakah gelombang hijau masih bergema lagi yang berkebetulan kawasan yang akan diadakan PRK di Dun Sungai Bakap amat strategik kerana sangat berdekatan antara tiga negeri zon utara iaitu Kedah, Perlis dan Perak.

Lebih menarik lagi di mana para penyokong mewakili calon parti bertanding boleh datang dan berkumpul atau berkampung di sini nanti terutamanya di Sungai Bakap.
Sementelahan PRK yang bakal diadakan ini nanti tentunya yang akan menjadi tanda tanya orang ramai siapakah antara calon daripada parti perpaduan terutamanya KEADILAN sendiri yang akan dipilih untuk bertanding di kerusi Dun Sungai Bakap.
Pada hemat saya sekiranya boleh kepimpinan tertinggi KEADILAN hendaklah mengangkat semula mantan ahli exco kerajaan paling senior sebagai calon pilihan kerana semasa pilihanraya negeri lalu (PRN 15) calon tersebut tidak bertanding.
Pada hal mantan Ahli Exco yang kami maksudkan adalah seorang Ahli Exco yang sepatutnya diberikan peluang sekali lagi bertanding pada PRN ke-15 atas fakta calon berkenaan seorang Ahli Exco paling senior atau paling kanan.

Lagipun atas alasan apakah nama beliau terpaksa disisihkan daripada dibolehkan bertanding lagi sedangkan mantan ahli exco yang berkenaan memiliki trek rekod serta berpengalaman luas dalam selok-belok hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.
Selain itu, saya juga berpandangan bahawa Ahli Exco kerajaan negeri yang sedia ada terutamanya mewakili KEADILAN mendapati belum menunjukkan tahap kematangan yang diharap-harapkan lebih-lebih lagi di dalam melaksanakan tugasannya sebagai ahli exco dengan efektif berdasarkan portfolio yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.
Makanya calon yang dinyatakan di atas adalah difikirkan paling ideal untuk dipertimbangkan oleh pihak kepimpinan tertinggi parti diletakkan sebagai calon perpaduan.

Calon yang saya maksudkan ialah Dato Seri Hj. Abdul Halim Hussain biarpun kelihatan lebih berusia tapi masih kuat bekerja berbanding Exco daripada KEADILAN yang sekarang ini malahan beliau memiliki beberapa kelebihan antaranya sebagai seorang mantan Ahli Exco kerajaan negeri paling lama.
Seandainya beliau dicalonkan dan menang dalam PRK Dun Sungai Bakap nanti setidak-tidaknya dapatlah beliau berganding bahu bersama barisan Ahli Exco yang lain di dalam membantu melicinkan lagi urusan hal ehwal yang berhubung kait dengan tugasan Ahli Exco Kerajaan Pulau Pinang sekali gus akan melonjakkan imej parti di mata hati rakyat di Pulau Pinang.
Di samping itu, berdasarkan pengamatan saya sendiri mengenai senario politik di Pulau Pinang percaya oleh kerana memandangkan KEADILAN hanya mampu mendapat dua kerusi Dun sahaja di mana kedua-dua kerusi tersebut adalah di sebelah Pulau.
Oleh hal demikian belum terlambat untuk KEADILAN bangkit semula bagi menebus daripada kekalahan semasa PRN 15 lepas. Berkebetulan pula PRK yang akan diadakan nanti adalah yang pertama di negeri ini selepas hampir setahun kerajaan perpaduan memerintah di Pulau Pinang.
Maka sudah semestinya PRK Dun Sungai Bakap kali ini dianggap menjadi medan ujian sebenar akan sejauh manakah kekuatan parti perpaduan terutamanya ialah parti itu sendiri.
Atas faktor dan alasan ini jugalah menjadi hujah kami yang orang lama di dalam kepimpinan KEADILAN sangat-sangat diperlukan bagi memperkuatkan parti berbanding orang muda tentunya miskin dengan pengalaman atau kurang matang selok belok hal politik di dalam pentadbiran negeri.
Sekian.
Pemerhati bebas politik Pulau Pinang
- Artikel di atas merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Harapan MADANI
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
