KDN Teliti Undang-Undang Tangani Peningkatan Kemalangan Motosikal – Saifuddin Nasution

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada Majlis Sua Mesra Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kepala Batas pada Jumaat. Foto Facebook KDN
KEPALA BATAS, 9 Ogos – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti termasuk melihat semula peruntukan undang-undang sedia ada yang diguna pakai dalam usaha mengurangkan jumlah kemalangan membabitkan penunggang motosikal di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata selain melihat peruntukan undang-undang yang digunakan pada ketika ini, KDN turut akan memperkasakan kempen keselamatan jalan raya di samping meningkatkan aspek penguatkuasaan.
Beliau menyambut baik inti pati pertemuan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyuarakan berhubung kebimbangan kemalangan membabitkan motosikal baru-baru ini.

“Mereka membincangkan soal kadar kemalangan tinggi membabitkan penunggang motosikal dan saya sebelum ini juga pernah bertemu beliau (Lam Thye) bukan sahaja soal keselamatan jalan raya tetapi membincangkan isu-isu kepolisian.
“Jadi, dalam hal ini KDN akan melihat kembali semua peruntukan undang-undang yang selama ini kita gunapakai.
“Dalam pada itu, kita juga akan tingkatkan aspek penguatkuasaan antaranya pengeluaran saman dan kempen keselamatan jalan raya dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai,” katanya.

Beliau diminta mengulas langkah KDN dalam mengatasi jumlah kemalangan motosikal yang semakin tinggi di negara ini sehingga ia disuarakan Perdana Menteri.
Terdahulu, beliau ditemui pada Majlis Sua Mesra Bersama KDN yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad di Dewan Millenium, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, berdasarkan rekod anggaran keseluruhan saman yang dikeluarkan setakat ini mencecah nilai kompaun berjumlah RM2.18 bilion.

“Jika nilai saman ini dijadikan indikator, ia membuktikan jumlah saman yang dikeluarkan memang tinggi, tetapi pada masa yang sama, kadar kemalangan motosikal juga bertambah.
“Oleh itu, kita akan pertingkatkan kempen keselamatan jalan raya di peringkat sekolah, akademik dan komuniti,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menzahirkan kebimbangan terhadap kadar kemalangan tinggi dalam kalangan pengguna motosikal yang berkait dengan kelemahan penguatkuasaan undang-undang selain isu penyelenggaraan jalan raya.
Susulan itu, Anwar mengarahkan supaya kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya diperluaskan susulan jumlah kemalangan yang direkodkan sepanjang tahun lalu mencecah 600,000 kes.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
