Infineon Tambah Pelaburan RM30.1 Bilion Bukti Keyakinan Terhadap Dasar Negara – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan hadirin pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di Kuala Lumpur. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Dasar ekonomi negara yang jelas dan kestabilan politik menjadi antara faktor yang menarik syarikat semikonduktor global, Infineon Technologies AG (Infineon) untuk mengumumkan pelaburan tambahan berjumlah RM30.1 bilion semalam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Keputusan mereka untuk melabur tentunya mengambil kira kedudukan politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas,” kata beliau pada Majlis Peluncuran Garis Panduan mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan hari ini.

Beliau berkata transisi tenaga, pendigitalan dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) turut mempengaruhi pelaburan terbesar Infineon di Malaysia.
Ini selaras dengan dasar kerajaan mahu memperkasakan sektor teknologi baharu seperti yang telah dibuktikan syarikat gergasi dari Jerman itu yang menyatakan komitmen mereka menambah pelaburan sekali gus menambah peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Semalam, penyedia penyelesaian semikonduktor itu mengumumkan akan menambah pelaburan lima bilion euro (RM30.1 bilion) untuk Fasa 2 pembinaan kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200-milimeter terbesar dunia di Kulim, Kedah.
Jumlah itu adalah tambahan daripada pelaburan awal sebanyak dua bilion euro (RM9.7 bilion) membabitkan Fasa 1.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, ia susulan daripada pelaburan awal sebanyak dua bilion euro (RM9.7 bilion) untuk pembangunan Fasa 1 kilang berkenaan.
“Kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2 ini masing-masing akan menjana 900 dan 600 pekerjaan bernilai tinggi di Malaysia.
“Secara keseluruhan, sebanyak 4,000 pekerjaan akan diwujudkan. Bangunan fabrikasi Kulim 3 ini turut menggabungkan kecekapan tenaga dengan amalan yang mampan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
