Karathu Sifatkan Shaharuddin Striker Handalan Negara

Anak bekas legenda bola sepak negara Shahrina menyiram air di pusara bapanya Allahyarham Shaharuddin Abdullah di Tanah Perkuburan Islam Kamunting hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 28 DisBekas pemain dan pengurus bola sepak negara Datuk M Karathu menyifatkan arena bola sepak negara kehilangan seorang legenda dengan pemergian Shaharuddin Abdullah akibat penyakit asma Hospital Taiping, Perak, awal pagi tadi.

Beliau berkata Allahyarham Shaharuddin yang pernah menjadi rakan sepasukannya ketika beraksi di Pestabola Merdeka 1965 adalah seorang pemain berbakat besar dan sukar ditandingi ketika itu, terutama apabila diberikan tanggungjawab bermain di bahagian penyerang.

“Ketika kami bermain mewakili pasukan negara pada Pestabola Merdeka 1960-an, beliau masih muda, namun sudah menjadi penjaring yang handal, malah tendangannya juga laju selain banyak menjaringkan gol untuk pasukan.

“Dia merupakan striker yang bagus dan untuk melahirkan striker hebat sepertinya adalah sukar, jadi bagi saya dia antara bekas pemain terbaik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shaharuddin yang pernah mewakili negara dalam Sukan Olimpik Munich 1972 disahkan meninggal dunia oleh anak keduanya Shahrina Shaharuddin, 42, akibat penyakit asma pada usia 75 tahun di Hospital Taiping, Perak 5.07 pagi tadi.

Anak bekas legenda bola sepak negara Shahrina menyiram air di pusara bapanya Allahyarham Shaharuddin Abdullah di Tanah Perkuburan Islam Kamunting hari ini. Foto Bernama

Allahyarham mula bermain untuk pasukan kebangsaan pada 1967 dan kelincahannya di padang menyebabkan beliau diberi gelaran ‘The Black Cat‘ dan ‘Sharpshooter‘.

Shaharuddin juga pernah beraksi untuk pasukan Pulau Pinang pada tahun 1967-1969, namun berhijrah ke pasukan Penjara FC selepas itu sehingga 1973, sebelum kembali semula bermain untuk pasukan Pulau Pinang pada tahun 1974-1982.

Setakat ini Allahyarham juga pemain keempat di Malaysia yang terbanyak menjaringkan gol dengan keseluruhan 39 jaringan dalam 70 penampilannya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *