Kantoi Sorok 78 Kotak Minyak Masak, KPDN Serbu Rumah Dua Tingkat

KPDN menerima maklumat aduan yang diterima berhubung kegiatan penyimpanan barang kawalan secara tidak sah di sebuah rumah kediaman dua tingkat pada 9 Mac 2026. Foto hiasan

PUTRAJAYA, 11 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah rumah di sini, dan merampas 78 kotak minyak masak paket bernilai lebih RM5,000.

Ketua Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam berkata, KPDN melalui bahagian penguat kuasa melaksanakan operasi khas di bawah Ops Gasak ke atas premis kediaman itu kelmarin.

Menurutnya, premis terbabit disyaki menjalankan aktiviti penyimpanan minyak masak bersubsidi bagi tujuan urus niaga tanpa lesen yang sah.

“Tindakan penguatkuasaan ini dijalankan hasil maklumat aduan yang diterima berhubung kegiatan penyimpanan barang kawalan secara tidak sah di sebuah rumah kediaman dua tingkat.

“Ketika serbuan, pasukan penguat kuasa KPDN mendapati premis berkenaan tidak berpagar dan tiada individu berada di lokasi.

“Pemeriksaan lanjut dijalankan di sekitar premis sebelum membuat semakan ke atas sebuah kenderaan yang berada di laman premis itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 78 kotak minyak masak paket ditemui di premis itu dengan setiap kotak mengandungi 17 paket bersaiz satu kilogram.

“Jumlah keseluruhan minyak masak yang disimpan di premis itu dianggarkan sebanyak 1,326 kilogram.

“Anggaran nilai keseluruhan sitaan ialah sebanyak RM5,569.20,” katanya.

Katanya, seorang lelaki tempatan hadir ke lokasi dan mengaku anak kepada pemilik premis terbabit.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu kesalahan memiliki barang kawalan dengan niat untuk menjalankan urus niaga tanpa lesen yang sah daripada Pengawal Bekalan.

  • Oleh Muhammad Hafis Nawawi

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *