Kantoi Jumpa Dadah Dalam Kereta Langgar Pembahagi Tol, Lelaki Dicekup

Kemalangan di Plaza Tol Telok Panglima Garang, Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) mendedahkan kereta yang membawa dadah dan pemandu ditahan. Foto tular

KUALA LANGAT, 13 Sep – Polis menemui dadah dalam kenderaan dipandu lelaki tempatan berusia 40an yang merempuh pembahagi lorong tol Telok Panglima Garang hingga menyebabkan kenderaannya terbalik, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi, dadah yang ditemui adalah jenis ganja dan syabu.

Beliau menjelaskan sebelum itu, dua buah kenderaan terbabit dalam kemalangan di Plaza Tol Telok Panglima Garang, Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Kemalangan di Plaza Tol Telok Panglima Garang, Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) mendedahkan kereta yang membawa dadah dan pemandu ditahan. Foto tular

“Lelaki berkenaan memandu kenderaan jenis Chery melanggar sebuah Toyota Corolla Cross yang sedang memperlahankan kenderaan untuk membuat transaksi di lorong tol.

“Akibat pelanggaran, Chery tersebut merempuh tembok pembahagi antara lorong tol sebelum terbalik.

“Pemandu Toyota Corolla Cross seorang wanita tempatan juga berusia 40-an tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu kereta Chery pula cedera di kaki kiri, muka dan tangan sebelum dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut menemui bahan disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 1.07 gram dan syabu seberat 1.17 gram dalam kereta dipandu lelaki itu.

Tambah Mohd Akmalrizal, siasatan turut mendapati lelaki tersebut tidak mempunyai lesen memandu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pemandu wanita dan saksi bebas yang melihat kejadian itu telah hadir memberikan keterangan kepada polis,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222 serta mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *