Kain Rentang Disimbah Cat Merah, KEADILAN Wangsa Maju Buat Laporan Polis

Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju merangkap Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai (tiga dari kanan) pada sidang media insiden sabotaj membabitkan banner beliau (belakang) di Jalan Chong Hwa pada Jumaat. Foto Jacky
KUALA LUMPUR, 5 Jan – Berikutan insiden sabotaj yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, KEADILAN Wangsa Maju mengadakan satu sidang akhbar diketuai sendiri Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai di Jalan Chong Hwa, di sini pada Jumaat.
Insiden sabotaj yang dimaksudkan adalah kerosakan terhadap ‘kain rentang atau ‘banner’ ucapan sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2024 beliau di mana cat merah disimbah ke arah gambar mukanya pada ‘banner’ tersebut.
Menurut Lai, insiden sabotaj terhadap banner ucapan perayaan semakin ketara selepas November tahun lalu sebaik berakhirnya kempen PRU 15.
“Termasuk kali ini, sudah ada empat insiden sabotaj sepanjang satu tahun lalu. Saya telah membuat laporan polis pada tiga insiden terakhir.

”Namun kali ini ia berlaku lagi dan saya tidak ada pilihan melainkan membuat laporan polis atas insiden sabotaj ini,” katanya selepas sidang media.
Ujarnya ia kerana pada kali terakhir banner ucapannya telah disembah cat merah adalah pada 27 Disember 2023, kira-kira tiga minggu yang lalu.
Beliau telah membuat laporan polis dan kes ini sedang dalam siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
Yang turut hadir pada sidang media ini adalah Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wangsa Maju dan Wilayah Persekutuan, Mohammad Azfar Aza Azhar dan ahli-ahli jawatankuasa cabang.
Menurut Mohammad Azfar Aza, agak mustahil untuk mana-mana penduduk setempat sanggup melakukan perkara keji ini kerana reputasai Andre Lai dalam khidmat masyarakatnya amat baik selama lima tahun berbakti untuk warga Wangsa Maju.

Ditanya sama ada suspek dapat dikenal pasti, Andre mengatakan selama tahun-tahun khidmat masyarakatnya, beliau tidak nampak secara ketara ada mana-mana suspek, namun tidak menafikan terdapat sesetengah mereka yang pernah mempunyai konflik dalam hal komuniti seperti penjaja warga asing dan ulat parkir.
Menurut Andre lagi, cat merah disembah secara terus ke arah gambar mukanya menunjukkan ia adalah perbuatan yang disengajakan dan berunsur khianat.
Dipercayai pelaku menggunakan motosikal memandangkan corak kesan cat merah itu dilempar dari bekas dan ia berlaku dengan pantas.
“Saya merasakan insiden ini seakan muncul semula secara tiba-tiba selepas PRU 15 mungkin menandakan ia gejala berunsur perkauman dan politik.
”Malah saya pernah mengalami insiden sabotaj sedemikan, ketika kempen PRU yang dulu, termasuk PRU14 di mana calon P116 Wangsa Maju masa itu adalah Datin Paduka Dr Tan Yee Kew,” ujarnya lagi.

Andre menganggap ia adalah merupakan perbuatan khianat kerana beliau juga merupakan salah seorang individu yang berkhidmat dengan kerajaan (beliau merupakan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur dan Pengerusi, Lembaga Pelawat Hospital Rehabilitasi Cheras).
Peranan beliau sebagai ahli politik atas kapasiti Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan turut menyaksikan beliau sebagai seorang pemimpin penting mewakili akar umbi dalam masyarakat setempat.
“Saya yakin dan percaya kepada kewibawaan pihak PDRM yang sedang menjalankan siasatan. Saya berharap dengan laporan ini, tidak ada lagi insiden sabotaj memandangkan musim sambutan Tahun Baharu Cina akan tiba tidak lama lagi,” tambahnya.
3R: KEADILAN Wangsa Maju Lapor Polis Terhadap Fitnah Pesuruhjaya Pas WP
Terdahulu pada 26 Disember lalu, Andre Lai dan Mohammad Azfar Aza membuat laporan polis di Balai Polis Setapak berkenaan isu Pas Wilayah Persekutuan memainkan sentimen 3R bertujuan menakut-nakutkan rakyat dengan fitnah dan tanggapan jahat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
