Kabinet Rakam Ucapan Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Mohd Yazid – Fahmi

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi, Putrajaya pada 31 Oktober 2025. Foto Bernama
PUTRAJAYA, 31 Okt – Jemaah Menteri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Pengarah Orkestra Tradisional Malaysia, Allahyarham Mohd Yazid Zakaria yang meninggal dunia selepas bertugas di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober lalu.
Ucapan takziah daripada kabinet itu disampaikan Menteri Komunkasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil ketika mengadakan sidang media mingguan pasca mesyuarat di sini hari ini.
“Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat industri muzik tanah air. Saya sendiri berasa sangat terkesan kerana kali terakhir bertemu beliau ialah pada malam gala Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakilkan Pengarah Pembangunan Negeri Sembilan Datuk Noor Ihsan Che Mat menghulurkan sumbangan kepada keluarga allahyarham sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Allahyarham dalam industri muzik tanah air.
“Atas keprihatinan Perdana Menteri, beliau meminta saya menyampaikan sumbangan peribadi ini kepada keluarga Allahyarham,” katanya.
Sementara itu, Fahmi mengulas penganjuran sidang kemuncak dan sidang berkaitannya adalah hasil usaha bersama seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat.
Menurut beliau, mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini turut merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam memastikan kelancaran sidang berprestij itu.
“Dari mereka yang menjadi wartawan, mengusahakan pentas, terbabit dalam aspek hospitaliti, menjaga lalu lintas serta menyediakan makan dan minum, semuanya memainkan peranan penting dalam menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47,” katanya.
Fahmi yang turut menerima dan menghantar pulang delegasi Timor-Leste berkata, negara itu menzahirkan pujian terhadap penganjuran sidang yang disifatkan sangat teratur dan membanggakan.

“Delegasi Timor-Leste menyatakan mereka amat terkesan dengan pengalaman sepanjang sidang kemuncak, termasuk kecekapan pegawai pengiring yang menunjukkan kemampuan tinggi.
“Mereka melihat Malaysia berjaya sebagai tuan rumah dan kejayaan ini adalah milik rakyat Malaysia, kejayaan kita bersama,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


