‘Jimatkan Bahan Api Jet, Simpan Untuk Penerbangan Pulang’

Pakistan meminta syarikat penerbangan asing supaya membawa sendiri bekalan bahan api untuk perjalanan pulang dan mengehadkan pengisian bahan api di negara itu sebagai langkah berjaga-jaga.

ISLAMABAD, 30 Mac – Berikutan kebimbangan mengenai bekalan bahan api jet, yang kian meruncing, Pakistan meminta syarikat penerbangan asing supaya membawa sendiri bekalan bahan api untuk perjalanan pulang dan mengehadkan pengisian bahan api di negara itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Arahan yang dikeluarkan melalui Notis kepada Penerbang (NOTAM) oleh Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Pakistan (PAA) awal bulan ini, susulan gangguan dalam rantaian bekalan bahan api global akibat perang di Iran, mendorong pihak berkuasa mengambil langkah awal untuk mengekalkan rizab domestik.

Di bawah nasihat itu, syarikat penerbangan asing diminta untuk meminimumkan kebergantungan mereka terhadap bekalan bahan api jet di Pakistan, sementara syarikat penerbangan tempatan terus menerima bahan api mengikut keperluan operasi, menurut seorang pegawai namanya dirahsiakan.

“Disebabkan gangguan dalam rantaian bekalan bahan api Jet A-1, sebagai langkah berjaga-jaga, syarikat penerbangan dinasihatkan membawa bahan api maksimum dari luar negara dan meminimumkan pengambilan bahan api Jet A-1 dari Pakistan,” menurut NOTAM itu, merujuk kepada bahan api gred penerbangan yang digunakan oleh pesawat.

Memetik laporan Arab News, seorang pegawai PAA mengesahkan notis itu, berkata ia dikeluarkan pada 13 Mac.

NOTAM ini terpakai kepada penerbangan yang beroperasi melalui lapangan terbang utama Pakistan dan bertujuan untuk mengurangkan tekanan ke atas bekalan bahan api jet domestik.

Pakistan memperkenalkan pelbagai langkah penjimatan bahan api dalam beberapa minggu kebelakangan ini bagi menguruskan kesan ketidakpastian bekalan yang berkaitan dengan ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat.

Kerajaan berkata ia memantau dengan teliti bekalan dan penggunaan bahan api, sambil menambah rizab yang mencukupi tersedia untuk penggunaan biasa, walaupun harga petrol dan diesel dinaikkan sebanyak Rs55 setiap liter awal bulan ini.

Pegawai juga sedang mempertimbangkan langkah-langkah pengagihan bahan api sekiranya konflik di Iran berlanjutan dalam beberapa hari akan datang. – AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *