Jenazah Noor Rahiza Selamat Disemadi Di Sebelah Pusara Ibu

Jenazah Allahyarham Noor Rahiza selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam di Yan, malam tadi.
YAN, 25 Apr – Jenazah Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, 39, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam Kampung Ruat, di sini pada pukul 9.55 malam tadi.
Lebih 500 orang hadir termasuk ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Jenazah dikebumikan dengan penuh istiadat ketenteraan berhampiran pusara ibunya, Ratipa Yahaya yang meninggal dunia pada tahun lalu.
Timbalan Panglima Pendidikan dan Latihan, Laksamana Pertama Azhar Adam yang mengetuai delegasi dari Lumut menyerahkan Bendera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada suami allhyarham, Mohd Azinor Azizan.
Empat anak allahyarham termasuk pasangan kembar, Nur Qistina Awliyah dan Nur Qistina Auni Mohd Azinor, 16; Muhammad Qisti Afif, 15, Nur Qistina Balqis, 6, turut hadir pada majlis persemadian itu.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi suasana sebaik sahaja van membawa jenazah Noor Rahiza tiba di pekarangan masjid tersebut pada pukul 9.07 malam.
Sebelum itu, van yang membawa jenazah Noor Rahiza tiba dari Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Ipoh Perak itu singgah di rumah bapa allahyarham di Taman Perumahan Awam 2, Jalan Pantai Murni, di sini pada pukul 8.40 malam bagi penghormatan terakhir buat ahli keluarga dan sanak saudara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
