Jenazah Lima Sekeluarga Mangsa Kebakaran Di Raub Selamat Disemadikan

Kesemua jenazah dibawa ke Masjid Tengku Abdullah Kampung Pamah Kulat untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan Islam Bukit Gelugor, Raub pada 26 Februari 2026.

RAUB, 26 Feb – Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di sini awal pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gelugor pada 11.45 malam ini.

Suasana pilu menyelubungi pemergian kelima-lima anggota keluarga berkenaan sebaik kenderaan jenazah tiba di tanah perkuburan berkenaan diiringi sanak saudara dan penduduk kampung.

Jenazah Mohd Alawi Muhammad, 56, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak perempuan mereka Ruby Adira Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.

Kebakaran sebuah rumah yang mengorbankan lima sekeluarga di Kampung Pamah Kulat di Raub awal pagi 26 Februari 2026.

Lima van yang membawa semua jenazah tiba di tanah perkuburan pada 10.48 malam selepas selesai proses bedah siasat dan dimandikan di Unit Forensik Hospital Raub serta disolatkan di Masjid Tengku Abdullah, Kampung Pamah Kulat di sini.

Majlis pengebumian berlangsung dalam suasana tenang dan penuh hiba dengan kehadiran kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara serta penduduk kampung yang memberikan penghormatan terakhir.

Kebakaran sekitar jam 3 pagi tadi mengorbankan lima sekeluarga, namun dua lagi anak pasangan itu selamat kerana tiada di rumah, iaitu Ruby Adalia Balqis, 19, yang juga pelajar matrikulasi di Gambang, Kuantan manakala Ahmad Balia Murqam, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dong.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau amat terkesan dan cukup dukacita atas insiden yang berlaku sekitar pukul 3.44 pagi itu melibatkan seluruh keluarga Allahyarhamah Ruby Adira Batreisya Mohd Alawi, 17 pada 26 Februari 2026.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah dan turut menyebabkan tiga kereta serta tiga motosikal terbakar.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *