Jenazah Ismail Haniyeh Akan Disemadikan Di Doha Jumaat Ini

Penduduk Tehran berarak di jalan raya sambil membawa potret Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang dibunuh rejim pengecut Israel awal pagi Rabu. Foto AFP

TEHRAN, 31 Jul – Jenazah ketua biro politik Hamas, allahyarham Ismail Haniyeh akan disemadikan di Doha, Qatar pada hari Jumaat (lusa), sehari selepas upacara penghormatan terakhir buat orang awam di Tehran, kata kumpulan pejuang Palestin tersebut hari ini.

“Upacara pengebumian awam jenazah Ismail akan diadakan di ibu negara Iran, Tehran esok,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Tambahnya, jenazah Ismail akan dibawa ke Doha pada hari yang sama.

Papan iklan anti-Israel dalam bahasa Parsi, ‘Tel Aviv tidak akan selamat lagi’ digantung di Dataran Palestin di Tehran, selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, di Tehran, Iran. Foto AFP

Ujarnya lagi, solat jenazah akan diadakan di Masjid Imam Muhammad bin Abdul Wahhab, iaitu masjid terbesar di Doha selepas solat Jumaat.

Jenazah Ismail kemudian akan dikebumikan di tanah perkuburan di Lusail, utara ibu negara Qatar itu.

Kenyataan Hamas menambah, majlis di Doha akan diadakan dengan kehadiran tokoh-tokoh dikenali serta penyertaan pemimpin Arab dan Islam.

Allahyarham bersama seorang pegawai peribadi terkorban dalam serangan peluru berpandu dipercayai dari Israel pada awal pagi Rabu. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *