Jenazah Ibu Dr Wan Azizah Selamat Disemadikan

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Jenazah ibu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mariah Khamis selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini, 11.15 pagi ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada usia 88 tahun di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang pada 2.45 pagi tadi.

Dr Wan Azizah menyifatkan arwah ibunya adalah tulang belakang kepada pencapaiannya sebelum ini.

“Beliau antara yang mendorong saya dalam (melaksanakan) insentif I-suri (sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri).

“Sebab itu saya ingat tiap-tiap ibu atau suri rumah yang menyumbang membangunkan sebuah keluarga itu, kita mesti hargai. Syurga di bawah tapak kaki ibu kan,” katanya.

Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Al-Mustaqim Ampang.

Allahyarham meninggalkan lima orang anak dengan Dr Wan Azizah merupakan anak kedua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *