Jemaah Menteri Maklum Jawatankuasa Khas Siasat Azam

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi pada 13 Februari 2026. Foto Kementerian Komunikasi
PUTRAJAYA, 13 Feb – Susulan daripada dakwaan agensi berita perniagaan antarabangsa, Bloomberg, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Menurutnya, jawatankuasa khas itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Jemaah Menteri telah memutuskan supaya satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara akan menyiasat dakwaan perkara-perkara yang telah dibangkitkan berkait Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Setelah selesai siasatan, maka akan dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri untuk sebarang tindakan susulan. Ini adalah usaha untuk kita memastikan aspek ketelusan dan integriti proses siasatan,” katanya.
Datuk Fahmi berkata demikian pada sidang media mingguan mesyuarat kabinet di Putrajaya.

Terdahulu Tan Sri Azam Baki menyatakan komitmen dan kesediaan untuk disiasat jawatankuasa bebas berhubung dakwaan pemilikan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Malah beliau telah mengarahkan peguamnya memfailkan LOD kepada Bloomberg sebanyak RM100 juta bagi membersihkan namanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
