Jasa, Sumbangan Azam Baki Kepada SPRM Dan Negara Tetap Dikenang Rakyat

Dua bekas perdana menteri telah ‘tumpas’ di tangan Azam Baki hasil daripada ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membanteras rasuah dan salahguna kuasa.
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Saya akui tidak mempunyai kawan-kawan sejak saya berkhidmat dalam BPR (Badan Pencegah Rasuah), seterusnya SPRM malah bergelar Ketua Pesuruhjaya SPRM juga membuatkan saya mempunyai lebih ramai musuh.
“Ketika berkhidmat saya cenderung untuk tidak melakukan apa-apa yang selamat kerana merasakan untuk menjadi pemimpin sedemikian, ia seperti tidak melakukan apa-apa,” itulah antara kata-kata terakhir Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Bakal menamatkan tugasnya kira-kira 24 jam lagi, beliau dikenali sebagai watak penting dalam mengembalikan malah memulihkan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dicuri kira-kira RM42 bilion oleh bekas perdana menteri, Najib Razak yang sehingga kini berjaya dipulihkan sebanyak RM31.3 bilion.

Tidak ketinggalan, pendakwaan rasuah ke atas Muhyiddin Yassin, 78, yang ketika memegang jawatan Perdana Menteri berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat serta seorang individu.
Pendek kata, dua bekas perdana menteri telah ‘tumpas’ di tangannya hasil daripada ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membanteras rasuah dan salahguna kuasa.
Memulakan tugas pada 9 Mac 2020, Azam tidak menoleh ke belakang lagi biarpun dikritik Pakatan Harapan (PH) pada 2021 dan 2022 hinggalah Kerajaan Perpaduan seolah ‘memulihkan tugas dan fungsinya’ yang dibekukan pentadbiran terdahulu.

Biarpun siasatan rasuah kini selalunya lebih sukar berbanding jenayah konvensional kerana biasanya membabitkan kumpulan rapat yang saling melindungi, namun tekad beliau tidak pernah luntur dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Jenayah rasuah sering berlaku dalam kumpulan kecil yang melindungi antara satu sama lain, menyebabkan ia lebih sukar dikesan, berbanding jenayah seperti rompakan atau kecurian.
“Ada kes yang berlarutan bertahun-tahun tanpa dapat dikesan secara langsung,” katanya.

Beliau turut menggesa kerjasama lebih meluas membabitkan profesional daripada pelbagai bidang termasuk perakaunan, kejuruteraan, perubatan dan perundangan bagi memperkukuh siasatan serta meningkatkan keupayaan analisis.
Azam dilantik semula sebanyak tiga kali berturut-turut, setiap kali untuk tempoh setahun, iaitu pada Mei 2023, Mei 2024 dan Mei 2025.
Dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan, Azam memulakan karier bersama Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1984.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
