Japan Airlines Anggar Perlanggaran Babit Kerugian AS$150 Juta

Pegawai menyiasat pesawat Airbus A350 Japan Airlines (JAL) terbakar selepas berlanggar dengan pesawat Pengawal Pantai Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda di Tokyo, Jepun, semalam. Foto Reuters
TOKYO, 4 Jan – Japan Airlines (JAL) hari ini menganggarkan perlanggaran penerbangannya, JL516 dengan pesawat Pengawal Pantai Jepun pada Selasa mengakibatkan kerugian operasi kira-kira 15 bilion yen (RM486.54 juta).
JAL berkata, kemusnahan pesawat yang terbakar itu akan dilindungi oleh insurans, sambil menambah kesan kerugian itu dinilai ke atas unjuran pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac.
Sumber industri insurans berkata, syarikat insurans AS AIG adalah penanggung insurans utama pada polisi ‘semua risiko’ bernilai AS$130 juta (RM603 juta) untuk pesawat JAL Airbus A350 berusia dua tahun itu, selepas musnah terbakar susulan insiden perlanggaran yang berlaku di lapangan terbang Haneda, Tokyo.
Ia kemusnahan pertama untuk model A350 di seluruh dunia, menurut Rangkaian Keselamatan Penerbangan.
Saham JAL meningkat 0.5 peratus, menunjukkan tindak balas perlahan terhadap insiden itu apabila dagangan disambung semula selepas cuti tahun baharu.

Saham mereka pada mulanya jatuh sebanyak 2.4 peratus sebelum kembali meningkat.
Kesemua 379 penumpang yang menaiki pesawat JAL itu berjaya keluar dari pesawat ketika ia sedang terbakar.
Lima daripada enam kru pesawat Pengawal Pantai itu bagaimanapun terbunuh dalam nahas berkenaan.
Pihak berkuasa Jepun pada Rabu menyatakan pesawat penumpang itu sudah diberi kebenaran mendarat, namun pesawat yang lebih kecil itu belum dibenarkan untuk berlepas, berdasarkan transkrip menara kawalan.
Pihak berkuasa baru memulakan siasatannya dan masih terdapat ketidakpastian mengenai situasi sebenar ketika nahas, termasuk bagaimana kedua-dua pesawat itu boleh berada di landasan sama.
Pakar menegaskan ia biasanya disebabkan kegagalan beberapa pagar keselamatan yang boleh mengakibatkan kemalangan kapal terbang berlaku.
Dalam pada itu, hampir 200 penumpang terkandas semalaman di lapangan terbang New Chitose berhampiran bandar utara Jepun Sapporo, di mana penerbangan JL516 sepatutnya berlepas, kata jurucakap pengendali lapangan terbang Hokkaido pada Khamis. – REUTERS
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
