Jangan Kerjasama Dengan Israel, Hamas Beri Amaran Kepada Warga Palestin

Bantuan kemanusiaan digugurkan dari udara di Semenanjung Gaza. Foto AFP
GAZA, 11 Mac – Laman sesawang berkaitan pejuang Hamas hari ini memberi amaran kepada individu atau rakyat Palestin supaya tidak bekerjasama dengan Israel.
Menurut laman sesawang keselamatan Hamas Al-Majd, mereka yang terbabit, terutama untuk memberi pelindungan keselamatan kepada konvoi bantuan di Semenanjung Gaza, akan dianggap sebagai bersubahat.
Amaran itu dibuat sebagai tindak balas kepada laporan media Israel bahawa regim Yahudi sedang mempertimbangkan bagi memberi senjata kepada individu atau kumpulan Palestin tertentu.
Mereka yang dipilih itu akan diberi tugas untuk menyediakan perlindungan keselamatan bagi konvoi bantuan ke kawasan yang dikepung sebagai sebahagian daripada perancangan lebih luas untuk bantuan kemanusiaan selepas peperangan berakhir.
Pejabat Perdana Menteri Israel bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan itu, yang dibuat seminggu selepas puluhan rakyat Palestin terbunuh dalam tragedi di mana orang ramai menyerbu konvoi trak bantuan memasuki utara Gaza, menyebabkan tentera Israel melepaskan tembakan, mengorbankan lebih 100 orang awam.

Menurut kenyataan di laman sesawang berkenaan, percubaan Israel berkomunikasi dengan pemimpin atau rakyat Palestin untuk beroperasi di Semenanjung Gaza dianggap sebagai kerjasama langsung dan disifatkan pengkhianatan terhadap negara.
“Usaha pendudukan (Israel) untuk menubuhkan badan bagi menguruskan Gaza adalah ‘konspirasi gagal’ yang tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.
Ketenteraman awam semakin tegang di Gaza di bawah Hamas manakala polis enggan menyediakan pelindungan keselamatan kepada konvoi kerana risiko menjadi sasaran tentera Israel.
Justeru, isu pengagihan makanan yang sangat diperlukan dan bekalan lain dengan selamat kini menjadi masalah utama.
Gaza mempunyai beberapa keluarga tradisional yang besar, bergabung dengan kumpulan politik termasuk pejuang Hamas dan Fatah iaitu kumpulan pesaing menguasai Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat yang diduduki.

Beberapa kumpulan terbabit dipercayai bersenjata lengkap dan tidak ada tanda-tanda bahawa mereka akan mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Israel.
Menjawab rancangan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) untuk mewujudkan koridor laut untuk menghantar kapal bantuan ke wilayah itu, Pegawai Kanan Hamas, Basem Naim berkata ia adalah langkah positif tetapi dunia sepatutnya bertindak untuk menamatkan perang.
“Memastikan semua keperluan penduduk di Semenanjung Gaza dipenuhi bukanlah suatu nikmat daripada sesiapa, ia adalah hak yang dijamin di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, walaupun ketika perang berlaku.
“Jika pentadbiran AS serius untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan, jalan paling mudah dan terpendek ialah berhenti menggunakan kuasa veto untuk membolehkan gencatan senjata dicapai.
“Paksa Israel membuka semua lintasan darat dan membenarkan kemasukan semua bantuan yang diperlukan,” katanya. – REUTERS
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
