‘Jadikan Awal Ramadan Kesempatan Bermunajat, Tingkatkan Amal’ – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat ibu pejabat Siemens Energy di Huttenstrasse, Berlin dan disambut oleh ahli lembaga eksekutif Siemens Energy, Vinod Philip. Foto Bernama
BERLIN, 11 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak menjadikan awal Ramadan kesempatan untuk bermunajat dan meningkatkan amal serta darjat takwa, selain berusaha bersungguh-sungguh bagi menggapai nikmat madrasah Ramadan.
Menerusi catatan di laman Facebook, Anwar yang kini dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke Jerman, berkata umat Islam di Berlin sudah mula menjalani ibadah puasa.
Beliau berkata, perwakilan Malaysia di negara itu yang bersahur pada jam 4 pagi dan bersolat Subuh pada jam 4.35 pagi, dianjurkan memenuhi waktu itu dengan membaca al-Quran berserta tafsirnya sekali.
Menerusi coretan beliau yang diiringi poster ‘Selamat Menyambut Ramadan 2024/1445H’ itu, Perdana Menteri berkata, beliau meneliti pesanan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga serta urusan kerja dengan rakan Jemaah Menteri sementara menunggu acara berlangsung di sebelah pagi.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan terdapat beberapa mesej daripada rakan di Indonesia berkaitan kisah menyayat hati iaitu insiden penderaan anak santri di pesantren Jawa Timur.
“Terngiang dalam ingatan liputan negara sejak dulu – kisah penderaan pelajar termasuk pengalaman saya ketika menjadi Menteri Pendidikan yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Cheras, Kuala Lumpur. Malah, paling tragis dan menggemparkan adalah kematian mahasiswa di Universiti Pertahanan.
“Pendidikan tidak wajar mengesampingkan disiplin, akhlak dan adab. Pelajaran, waima pendidikan agama sekalipun, bukan sekadar menimba ilmu dan keratan ayat tanpa pencerahan, kesedaran dan amalan.
“Lantaran itu, semua tenaga pengajar dan ibu bapa perlu menekan kaedah itu dan tidak bersubahat melindungi gejala bobrok itu ,” katanya.
Anwar tiba di ibu negara Jerman itu pada jam 10.29 malam Ahad waktu tempatan untuk lawatan rasmi beliau ke negara yang juga rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah.
Jadual padat menanti Perdana Menteri bermula dengan lawatan ke Siemens Energy dan setelah itu mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau, Canselor Olaf Scholz dan kunjungan hormat ke atas Presiden Frank-Walter Steinmeier.
Ketika lawatan itu yang turut merangkumi kunjungan ke bandar pelabuhan Hamburg, Perdana Menteri dijadualkan bertemu kapten industri dan pelabur berpotensi seperti Schott AG, Infineon Technologies AG, Melexis dan Airbus serta menghadiri sesi bersama diaspora Malaysia di negara itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
